Polis Tahan Lelaki Serang, Tumbuk Doktor Di Bombalai

TAWAU: Tindakan seorang lelaki menyerang dan menumbuk seorang doktor membawa padah selepas ditahan di hadapan Balai Polis Bombalai, Tawau, semalam.

Suspek berusia 37 tahun itu ditahan 4 petang selepas mangsa berusia 31 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu.

Sumber memberitahu, dalam kejadian 12.20 tengah hari itu, mangsa yang bertugas di sebuah Klinik Kesihatan di Tawau sedang memeriksa seorang pesakit sebelum didatangi lelaki tidak dikenali.

Katanya, lelaki itu memaklumkan adiknya terbabit dalam kemalangan jalan raya dan doktor itu meminta dia menunggu sebentar kerana sedang merawat pesakit lain.

“Ketika mangsa membuka pintu untuk memberi bantuan, suspek bertindak mencekik leher dan menumbuk pipi mangsa.

“Dalam keadaan marah, suspek memaki dan mengeluarkan kata-kata kesat selain mengugut mangsa dengan berkata, kalau terjadi apa-apa ke atas adiknya, dia akan mencederakan mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan.

“Suspek ditahan selama tiga hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

SumbeR: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *