Parlimen Tawau Agih 30,000 Penutup Hidung & Mulut Kepada Petugas Barisan Hadapan

Sumbangan disampaikan kepada wakil media Tawau.

TAWAU: Pejabat Parlimen Tawau mengambil inisiatif mengedarkan 30,000 penutup hidung dan mulut kepada petugas barisan hadapan termasuk agensi media, di sini, hari ini.

Pegawai Perhubunhan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tawau Robert Penggai berkata, ia adalah sumbangan peribadi Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew yang menyedari kepentingan barang berkenaan ketika berdepan ancaman Covid-19.

“Menteri sebenarnya maklum mengenai keperluan alat berkenaan memandangkan kekurangan bekalan di pasaran ketika ini.

“Justeru, beliau sedaya upaya mendapatkan bekalan tersebut untuk disalurkan kepada orang ramai khususnya petugas barisan hadapan termasuk pengamal media di Tawau yang berisiko terdedah kepada penyebaran virus ketika bekerja,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Turur hadir Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Tawau Fung Rhin Yein.

Menurut Roberr, diharapkan dengan sumbangan tersebut, ia dapat membantu petugas berkaitan menjalankan tugas dengan lebih selamat.

“Selain media, sumbangan turut disampaikan kepada Hospital Besar Tawau, Majlis Perbandaran Tawau, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau yang dilakukan sejak semalam.

“Selepas ini, beberapa sumbangan lain akan diberikan termasuk sarung tangan dan sanitizer yang turut diperlukan ketika bertugas mengendalikan kes Covid-19,” katanya.

Sementara itu, menjawab tuduhan negatif yang tular mengenai ketiadaan Christina di Tawau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (MCO), Robert menjelaskan ketiadaan penerbangan domestik menjadi halangan utama Timbalan Ketua Menteri Sabah berkenaan untuk berada di sini.

“Dalam masa sama, sebagai menteri kanan termasuk menerajui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, beliau perlu kerap menghadiri mesyuarat di Kota Kinabalu terutamanya berkaitan Covid-19.

“Bagaimanapun, beliau sentiasa mengarahkan kami di peringkat Pejabat Parlimen untuk mengagihkan sumbangan dan membantu rakyat yang memerlukan bantuan,” katanya.

Robert berkata, Christina turut menyatakan kekesalan dan memohon maaf kepada penduduk Tawau atas sebarang kesulitan yang berlaku ketika ini.

“Setiap hari beliau akan meminta kami melaporkan perkembangan di Tawau bagi memastikan setiap aduan yang diterima berjaya diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *