Lelaki Maut Diserang Tiga Suspek Mabuk

Gambar Hiasan

BELURAN: Seorang pekerja ladang kelapa sawit maut selepas ditendang bertubi-tubi oleh tiga lelaki dalam kejadian di sebuah rumah kongsi ladang di Ladang Muncul Maju, Sugut, di sini, Sabtu lalu.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Fazle Mide, 25, berasal dari Tawau.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, semua suspek dipercayai datang ke rumah mangsa, sebelum menendang mangsa yang sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Kasim Muda, berkata berdasarkan keterangan saksi, saksi merayu suspek agar melepaskan mangsa yang sudah dalam keadaan tidak bermaya, sebelum suspek meninggalkan mangsa.

Katanya, suspek dipercayai mabuk dan turut membawa senapang ‘bakakuk’, namun tidak digunakan dalam kejadian itu.

“Susulan laporan polis yang dibuat, kita berjaya menahan suspek yang semua adalau warga tempatan berusia antara 17 hingga 50 tahun keesokan harinya di Kampung Timbulus, Sugut.

“Senjata yang dibawa suspek juga dirampas. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kasim berkata, polis membuka tiga kertas siasatan pada Sabtu lalu yang berkait dengan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan 10 tangkapan berusia antara 14 hungga 56 tahun.

Ia membabitkan lapan orang berusia 14 hingga 33 tahun yang ditahan kerana bermain sepak takraw di Kampung Melapi, Telupid, manakala dua lagi tangkapan kerana berada di tempat awam tanpa sebarang sebab munasabah masing-masing di Kampung Ulu Sapi, Beluran dan Batu 4, Telupid.

Ketiga-tiga kertas siasatan ini disiasat di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan, 269 Kanun Keseksaan, 22(b) Akta 324 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *