Ingkar PKP, Dua Beradik Di Lahad Datu Dipenjara 2 Bulan Denda RM1,000

LAHAD DATU: Dua majikan yang juga adik beradik masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM1,000 di Mahkamah Majistret Lahad Datu hari ini, selepas mengaku salah membuka premis yang tidak perlu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Ryan Sagirann Rayner Jr menjatuhi hukuman itu terhadap Ng Khim Weng, 50, dan Ng Kim Chuah, 47.

Mengikut kertas pertuduhan, dua lelaki itu secara bersama pada 28 Mac 2020, jam 11 pagi bertempat di Rintisan Hijau Sendirian Berhad, Jalan Dam, didapati dengan sengaja membuka premis perkhidmatan yang tidak perlu.

Perkara itu seperti dinyatakan dalam Jadual Peraturan 2 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, dalam satu kawasan berjangkit tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya merayu agar hukuman dikurangkan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Risal Abd Fikkah.

Terdahulu, pada Sabtu lalu, kedua-dua tertuduh ditangkap di premis penyimpanan perkakasan rumah berkenaan kerana beroperasi seperti biasa dan melanggar PKP. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *