15 Individu Solat Berjemaah Ditahan Ingkar PKP Di Sandakan

Pasukan Pemantau PKP menahan 11 lelaki di dalam Surau Al-Munawarah Kampung Mangkalinau.

SANDAKAN: Pasukan Pemantau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Sandakan telah menahan 15 individu di dua lokasi berasingan selepas didapati ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melaksanakan solat secara berjemaah.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, sebelas  individu ditahan  di Surau Al-Munawarah Kampung Mangkalinau manakala empat lagi di Masjid Al-Baraqah Kampung Lupak Meluas, Sandakan.

“Kesemua yang ditahan adalah lelaki berumur antara 12 tahun hingga 64 tahun,” katanya kepada media selepas melakukan serbuan bersama anggota Pasukan Pemantau PKP Sandakan, di Masjid Al-Baraqah, Kampung Lupak Meluas.

Beliau berkata semua individu berkenaan didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Mereka ini pun telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan jadi kita terpaksa bawa mereka ke balai untuk siasatan lanjut berkaitan melanggar peraturan semasa PKP ini,” katanya.

Beliau yang mengetuai sepasukan Pemantau PKP telah pergi ke Surau Munawarah Mangkalinau Batu 3, lebih kurang jam 6.50 petang.

“Dalam pemantau tersebut mendapati 11 orang lelaki sedang menunaikan solat berjemaah dan enggan bersurai sebelum kesemua mereka ditahan,” katanya.

Manakala kes kedua, Azhar berkata beberapa agensi kerajaan telah memantau PKP COVID-19 di Masjid Al-Baraqah Kampung Lupak Meluas Laut mendapati empat lelaki berkumpul untuk menunaikan solat berjemaah.

Ketika pasukan pemantau PKP sampai yang diketuainya lebih kurang jam 7.34 malam, beliau berkata mereka cuba melarikan diri sebelum ditahan.

Azhar berkata semua individu berkenaan dibawa ke Balai Bandar Sandakan untuk diambil keterangan sebelum didakwa di Mahkamah Majistret Sandakan.

Serbuan itu disertai oleh anggota penguatkuasa Pejabat Kesihatan Kawasaan Sandakan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS). – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *