Pemandu Lori Di Tawau Dipenjara Tiga Hari, Denda RM1,000 Ingkar PKP

TAWAU: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM1,000 selepas mengaku bersalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Iskandar Galigi, 32, dituduh melakukan kesalahan itu di Kilometer 50 Jalan Tawau-Kunak,pada pukul 8.35 pagi, 28 Mac lalu.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, tertuduh yang memandu kenderaan Proton Persona, diarahkan membuat pusingan U kerana didapati melanggar arahan MCO.

Bagaimanapun, tertuduh enggan mematuhi arahan tersebut dan bertindak melarikan diri dan meneruskan perjalanan ke Kunak.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 78 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Majistret Dzul Elmy Yunus kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga hari bermula hari ini dan denda RM1,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayarnya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *