Ingkar PKP: Di Ranau Pergi Sabung Ayam, 9 Belia Main Takraw Ditahan Di Telupid

Sembilan belia yang ditahan di Telupid kerana tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

KOTA KINABALU: Polis Sabah telah melakukan 40 tangkapan di seluruh negeri ke atas individu-individu yang ingkar dengan arahan untuk duduk di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, pelbagai alasan digunakan untuk kesemua suspek berkenaan keluar dari rumah termasuk satu kes apabia seorang warga emas ditahan di Ranau kerana melakukan aktiviti sabung ayam.

Katanya, semalam, sembilan belia turut ditahan di Kampung Melapi, Telupid kerana bermain sepak raga pada waktu petang sedangkan arahan sudah dikeluarkan melarang mereka keluar dari rumah.

“Itu kalau tidak silap saya main sepak raga bukan hari ini, semalam, itu pun saya terkejut di pedalaman, itulah sebab kita nak beritahu di mana-mana pun semua orang kena patuh jangan dia ingat dekat pedalaman tak perlu nak patuh.

“Macam ada satu kes di Ranau sabung ayam, sedangkan hari biasa pun orang curi-curi masa macam ini mereka berani buat,” katanya.

Zaini berkata, antara punca lain individu-individu tersebut ditangkap termasuk kerana degil walaupun telah diarahkan oleh pihak berkuasa untuk berpatah balik.

“Di Beaufort dia naik dua kereta kita tangkap, tanpa apa-apa tujuan kita suruh patah balik, tidak balik kita tangkap.

“Saya pun terkejut Beaufort pekan kecil tapi apa yang susah sangat untuk duduk di rumah, ini sebab perangai,” kataya.

Sementara itu katanya, secara keseluruhan tahap pematuhan rakyat Sabah kepada PKP mencapai tahap 95 peratus iaitu pencapaian yang sangat baik.

Menurut beliau, daerah Kota Belud mencatatkan peratusan tertinggi kepada pematuhan perintah tersebut berbanding negeri-negeri lain. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *