COVID-19: 3 Kematian, 91 Kes Pulih & Dibenar Pulang Hari Ini

PUTRAJAYA: Tiga lagi kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini, dengan 91 kes disahkan pulih dan dibenarkan pulang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah kes pulih dan dibenarkan pulang itu terbesar direkodkan setakat ini, menjadikan kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 479 kes atau 18.2 peratus berbanding keseluruhan.

Mengulas kematian terbaru, beliau berkata kes ke 35 membabitkan seorang wanita berusia 57 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis serta sejarah perjalanan ke Indonesia.

Katanya, wanita itu dirawat di Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia jam 4 petang semalam.

“Kematian ke 36 pula membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun dan dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 23 Mac, sebelum disahkan meninggal jam 8.10 pagi tadi.

“Bagi kematian ke 37 membabitkan seorang wanita berusia 46 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi dan autoimun, yang dirawat di Hospital Miri, Sarawak dan disahkan meninggal dunia jam 9.02 pagi tadi,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga jam 12 tengah hari ini 156 kes baharu dilaporkan dan menjadikan keseluruhan 2,626 kes.

“Sehingga kini 94 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, 62 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *