Bersabung Ayam, Main Sepak Takraw, 40 Ditahan Ingkar PKP Di Sabah

Pesuruhjaya Polis Sabah, Zaini Jass berkata, semua orang perlu mematuhi perintah kawalan pergerakan walaupun mereka tinggal di kawasan pedalaman. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Individu bersabung ayam dan bermain sepak raga secara berkumpulan adalah antara yang ditahan sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di negeri ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Zaini Jass.

Bagi kes sabung ayam Zaini berkata, ia melibatkan tangkapan seorang lelaki warga emas di Ranau baru-baru ini, manakala kes bermain sepak raga melibatkan 9 individu di Telupid, semalam.

Sembilan belia yang ditahan di Telupid kerana tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau berkata, individu terbabit adalah sebahagian daripada 40 tangkapan dilakukan di seluruh Sabah sejak PKP dikuatkuasakan mulai 18 Mac lepas.

“Semua orang perlu mematuhi perintah ini. Jangan ingat dia di kawasan pedalaman, dia tidak perlu patuh pada arahan PKP,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zaini berkata, tahap pematuhan rakyat Sabah kepada arahan PKP secara keseluruhannya mencapai 95% iaitu pencapaian yang sangat baik dengan Kota Belud mencatat pematuhan tertinggi berbanding daerah lain di negeri itu.

Rakyat Sabah diingatkan untuk terus mematuhi arahan PKP dan sama sekali tidak keluar sekiranya tidak ada tujuan dan alasan kukuh, katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *