Sabah Terima 170,000 PPE

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

KOTA KINABALU: Sabah menerima bantuan kelengkapan seperti peralatan perlindungan diri (PPE), penutup muka dan cecair basmi kuman sumbangan kerajaan China untuk membantu menangani penularan COVID-19 di negeri ini.

Semua 170,000 kotak berisi bantuan kelengkapan berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) jam 3.15 petang tadi melalui penerbangan sewa khas AirAsia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sumbangan terbabit adalah kerjasama dizahirkan antara kerajaan negeri bersama Konsulat China di Sabah dan ia sudah dimaklumkan kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Ia termasuklah bantuan kepakaran yang kita minta daripada republik sama supaya boleh membimbing dan melatih semua petugas perubatan seperti doktor serta jururawat yang ada bagi menangani wabak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan ketibaan peralatan perubatan terbabit di terminal dua, KKIA hari ini.

Yang turut hadir ialah Konsul Jeneral China ke Sabah, Liang Caide.

Mengenai penularan COVID-19 di Sabah, Mohd Shafie berkata ia masih terkawal membabitkan 197 kes positif setakat semalam, dengan satu kematian dilaporkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah mengenal pasti pendekatan khusus untuk membendung COVID-19 dan kerjasama antara polis, tentera dan RELA turut diperketat khususnya untuk mengawal pergerakan rakyat.

“Kita melihat kemudahan yang boleh diperoleh dalam negara, selain cecair basmi kuman serta pakaian kegunaan perubatan yang boleh diperoleh daripada China.

“Jika inisiatif ini dapat dilaksanakan, kita dapat membantu anggota barisan hadapan di hospital untuk mempunyai perlindungan diri,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *