KPLB Sabah Selaras Pengagihan Bantuan E-Kasih & B40

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pengagihan Elaun Bantuan Khas kepada golongan miskin dan miskin tegar serta golongan berpendapatan rendah B40 di negeri ini di bawah peruntukan Pakej Bantuan Covid-19.
 
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, peruntukan dibawah kerajaan negeri itu bertujuan mengurangkan beban rakyat Sabah yang terjejas oleh penularan wabak Covid-19 khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu.
 
“KPLB dipertanggungjawabkan untuk menyelaras penyaluran bantuan untuk golongan yang tersenarai dalam e-kasih, petani, nelayan dan penternak serta kumpulan sasar B40 seperti yang dikemukakan oleh pelbagai jabatan dan agensi berkenaan.
 
“Senarai nama yang kita perolehi merupakan nama sedia ada yang berdaftar dengan pelbagai jabatan dan agensi berkenaan. Contohnya senarai nama e-Kasih kita perolehi daripada Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO), Bantuan B40 daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan golongan petani, penternak dan nelayan kita perolehi daripada Jabatan Pertanian, Ko-Nelayan dan agensi-agensi berkaitan pertanian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
 
Sehubungan itu Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian menyeru orang ramai yang tersenarai dalam kategori itu supaya menghubungi pejabat daerah masing-masing atau jabatan berkaitan bagi memastikan nama mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan.
 
“Orang ramai boleh menghubungi pejabat daerah atau jabatan berkaitan, contonya jika anda seorang petani bukit dan menerima bantuan subsidi padi bukit sebelum ini, nama anda memang tersenarai dalam daftar penerima dan sepatutnya layak menerima bantuan ini,” katanya.
 
Ewon berkata, KPLB Sabah akan memulakan pembayaran secara online kepada rakyat Sabah yang layak dan tersenarai dalam senarai yang disediakan pelbagai jabatan dan agensi bermula esok (‪30 Mac 2020‬).
 

“Ketika ini, kita masih menunggu data rasmi dari beberapa jabatan dan agensi berkaitan. Apabila semuanya selesai KPLB Sabah akan memulakan pembayaran online kepada mereka yang mempunyai akaun bank.
 
“Bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, kita akan meminta kerjasama daripada pejabat-pejabat daerah supaya menyampaikan bantuan itu kepada penerima di kawasan masing-masing,” katanya dan menambah pembayaran itu mengambil sedikit masa kerana ia perlu dimuktamadkan bagi memastikan tiada pertindihan nama.
 
Ewon berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk Elaun Bantuan Khas kepada Golongan Miskin dan Miskin Tegar.
 
“Bagi meringankan kesulitan yang dihadapi golongan tersebut dalam menampung keperluan harian dalam masa yang susah ini, Kerajaan Negeri memberikan bantuan khas tunai sebanyak RM500 seorang secara “one-off” kepada Ketua Isi Rumah Miskin dan Ketua Isi Rumah Miskin Tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.
 
“Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta yang dijangka akan memberikan faedah kepada 22,456 Ketua Isi Rumah Miskin dan 15,747 Ketua Isirumah Miskin Tegar di seluruh Sabah,” katanya.
 
Ewon juga meminta kerjasana daripada semua Pengerusi MPKK seluruh Sabah supaya mengumpul maklumat bank penerima bantuan dari kalangan mereka yang sedia tersenarai dalam  daftar e-Kasih untuk dikemukakan kepada semua pejabat daerah bagi urusan penyaluran bantuan tersebut.
 
Mengenai bantuan golongan berpendapatan rendah B40, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM80 juta untuk golongan berkenaan. Mereka akan menerima bantuan tunai secara “one-off” sebanyak RM300 seorang.
 
“Kerajaan Negeri amat prihatin dan mengambil berat terhadap kesusahan yang dihadapi oleh rakyat Sabah berpendapatan rendah daripada golongan B40 dan juga kumpulan masyarakat yang mudah terjejas.
 
“Ini termasuklah anak-anak Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia (dianggarkan seramai 30,000 orang); pemandu-pemandu teksi (seramai 13,132 orang), golongan petani atau pekebun-pekebun kecil; nelayan dan penternak seramai 169,630 orang, “porter” dan malim gunung (seramai 339 orang); serta kumpulan “vulnerable” seperti warga tua; anak-anak yatim; Orang Kelainan Upaya (melibatkan 62,638 orang); dan ibu-ibu tunggal (seramai 6,500 orang) di seluruh Sabah,” katanya. – Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *