Henti Serbu Komuniti Pendatang Asing Semasa Krisis Covid-19 – NGO

Empat NGO menggesa kerajaan memberi pengampunan sementara kepada komuniti pekerja asing sepanjang krisis Covid-19.

Beberapa NGO hak asasi menggesa kerajaan mengumumkan moratorium ke atas serbuan terhadap komuniti pendatang oleh pihak berkuasa serta memberikan pengampunan sementara kepada mereka sepanjang krisis Covid-19.

Dalam satu kenyataan bersama, 4 NGO itu berkata, ini tidak bermakna kerajaan perlu menghentikan kawalan sempadan atau tidak mengambil tindakan ke atas aktiviti penyeludupan manusia.

“Ia bertujuan menjamin ruang selamat kepada pendatang tanpa dokumen untuk mendapatkan bantuan perubatan dan menjalani kehidupan,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Pertubuhan Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Concerned Lawyers for Justice (CLJ) dan Tenaganita.

NGO terbabit mendakwa mereka menerima laporan bahawa ramai pekerja warga asing ditahan oleh pihak berkuasa minggu lepas.

Mereka menggesa Kementerian Dalam Negeri mengumumkan langkah yang telah diambil untuk menyaring individu yang ditahan dan kakitangan pusat tahanan yang mungkin terdedah kepada virus tersebut.

Mereka juga menyuarakan kebimbangan bahawa Putrajaya belum mengumumkan langkah pencegahan Covid-19 membabitkan pekerja asing tanpa izin dengan berkata, terdapat lebih 4 juta golongan itu di negara ini.

Langkah awam seperti perintah kawalan pergerakan (PKP) telah menimbulkan kesukaran ke atas pekerja asing terbabit, katanya.

Walaupun kesan buruknya sedikit-sebanyak berjaya dikurangkan melalui program pemberian makanan oleh NGO, tetapi ia tidak mencukupi, kata kenyataan itu lagi.

“Bagi menjayakan langkah pengesanan dan pengasingan, pekerja warga asing mesti dilibatkan sebagai anggota masyarakat yang dijangkiti atau mungkin dijangkiti,” katanya.

Ia berkata, oleh sebab kelompok tersebut boleh dikenakan hukuman di bawah undang-undang imigresen, kebanyakan mereka mengelak diri daripada mendapatkan rawatan. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *