Guna Laluan Kampung Elak Perintah Kawalan Pergerakan

Notis yang dinaikkan.

TUARAN: Sikap segelintir orang luar menggunakan laluan kawasan kampung untuk mengelak sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menimbulkan kemarahan kira-kira 1,800 penduduk di lapan buah kampung di Jalan Kauluan, Tuaran.

Difahamkan, antara kampung yang terbabit adalah Kampung Kauluan Ulu, Kampung Kauluan, Kampung Giling, Kampung Tambulaong, Kampung Tabarakon, Kampung Gansangai, Kampung Magana dan Kampung Norihot.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kauluan Ulu, Juliana Singkun, 61, berkata, walaupun notis larangan dipasangkan menggunakan papan tanda serta sepanduk, ia tidak diendahkan oleh pengguna kenderaan.

“Penduduk sudah memasang dua sepanduk di laluan masuk Jalan Kauluan iaitu di simpang berhampiran Jalan Tamparuli-Berungis dan laluan keluar di simpang berhampiran Jalan Giling.”

“Manakala satu lagi papan tanda dengan notis sama menyampaikan mesej ‘Orang luar dilarang masuk’ turut dipasang di pertengahan Jalan Kauluan namun tidak diendahkan.

Menurutnya, sebaliknya pengguna kenderaan dipercayai orang luar tetap berdegil apabila masih banyak kenderaan tidak dikenali menggunakan laluan berkenaan menghala ke Kota Kinabalu atau pekan Tuaran.

“Hal ini bukan sahaja mengundang kemarahan penduduk tetapi membimbangkan setiap penduduk yang mungkin terdedah kepada penularan wabak Covid-19.

“Semalam, pihak berkuasa menjalankan rondaan di Jalan Kauluan namun masih ada beberapa pengguna kenderaan yang masih berani menggunakan laluan terbabit,” jelasnya.

Juliana mendakwa, Jalan Kauluan turut digunakan pengguna kenderaan sejak dahulu untuk mengelak sekatan jalan raya yang kebiasaannya diadakan berhampiran hospital Tuaran dan Kampung Telibong namun jumlah kenderaan bertambah selepas PKP dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *