COVID-19: 12 Jemaah Tabligh Antara 18 Individu Terkandas Di Nunukan Tiba Di Tawau

Jemaah tabligh Malaysia yang dilaporkan terkandas di Indonesia sebelum ini selamat tiba di Jeti Terminal Feri Tawau (TFT) di sini hari ini.

TAWAU: Seramai 18 rakyat Malaysia termasuk 12 jemaah tabligh yang dipercayai terkandas di Nunukan, Wilayah Indonesia tiba di jeti Terminal Feri Tawau (TFT) hari ini.

Mereka yang menaiki dua buah bot khas diiring bot PGR 16 milik Pasukan Polis Marin (PPM) dan bot Bangi 13 dan Cenderawasih 01 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), berlabuh kira-kira 10.45 pagi tadi.

Sebaik tiba, kesemua mereka menjalani saringan kesihatan termasuk pemeriksaan suhu yang dikendalikan kakitangan pejabat kesihatan sebelum pasport mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk disahkan.

Selain jemaah tabligh terbabit turut diiring masuk adalah dua wanita bersama tiga kanak-kanak lelaki dan seorang remaja perempuan yang dipercayai terkandas di wilayah berkenaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Mereka kemudiannya dibawa menaiki lori Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk ditempatkan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau bagi tujuan kuarantin dan pemantauan.

Difahamkan, proses penghantaran pulang kesemua mereka diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Konsulat Republik Indonesia, serta agensi kerajaan lain termasuk PDRM, PPM, Maritim Malaysia, APM, Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan TFT.

Terdahulu, sekumpulan 12 jemaah tabligh yang baru pulang daripada menyertai Program Ijtimak Dunia Zon Asia 2020 di Sulawesi, Indonesia turut terkandas di wilayah berkenaan sebelum dibawa pulang pada 22 Mac lalu.

Ia disusuli enam lagi jemaah tabligh Malaysia yang baru pulang daripada misi dakwah di Makassar Sulawesi, Indonesia turut dilaporkan terkandas pada 24 Mac 2020.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah sebenar mereka yang terkandas di negara jiran itu, namun sehingga kini seramai 24 jemaah tabligh Malaysia berjaya dibawa pulang.

SumbeR: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *