Beberapa Jalan Di Lahad Datu Ditutup

LAHAD DATU: Beberapa jalan di sini ditutup bermula semalam sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Laluan itu membabitkan jalan masuk ke bandar di hadapan Kem Tentera, jalan masuk ke KFC, jalan masuk ke Bank Alliance, jalan masuk ke Kompleks Ko Nelayan, jalan keluar ke Pejabat Daerah Lahad Datu dan jalan masuk ke bandar Lahad Datu menerusi Lapangan Terbang Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansur, berkata langkah itu diambil susulan masih ada segelintir masyarakat di daerah itu yang degil dan tidak mematuhi arahan PKP.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Lahad Datu memutuskan beberapa jalan ditutup bermula semalam hingga tamat tempoh PKP.

“Ia untuk mengelakkan orang ramai berkumpul dan kenderaan berat seperti lori yang membawa minyak sawit mentah (CPO) masuk ke bandar, sebaliknya mereka harus melalui jalan POIC,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Nasri berkata, langkah itu juga akan memudahkan pihak polis memantau dan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak mematuhi PKP dan mengambil tindakan terhadap kereta sapu.

Beliau turut menasihatkan masyarakat di daerah itu agar mematuhi PKP dan merancang masa untuk berbelanja.

“Hanya ketua keluarga saja dibenarkan keluar membeli barang keperluan. Mereka yang degil dan ingkar terhadap arahan PKP akan ditangkap,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *