20 Premis Di Sandakan Ditutup Untuk Disinfeksi

Pegawai dari Jabatan Kesihatan menampal notis arahan tutup di sebuah kedai di Kampung Forest, Sandakan semalam. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Dua puluh premis di Sandakan diarahkan tutup untuk didisinfeksi oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Pengarah Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi berkata, 900 premis diperiksa oleh pegawai dari unit penguatkuasaan dan undang-undang, polis, penguat kuasa kerajaan tempatan dan Rela di Sandakan semalam.

Daripada jumlah itu, 20 premis, terdiri daripada 8 tempat makan, 3 bengkel, 6 kedai serbaneka dan 3 stor diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Sabah mempunyai 197 kes positif Covid-19. Tambunan mencatatkan kes pertama semalam dengan pesakit dimasukkan ke Hospital Keningau.

Seramai 658 individu kini berada di bawah penyiasatan, sementara 5,644 yang lain dalam pemantauan dan berada dalam kuarantin di rumah.

Christina berkata, Monaco Boutique Hotel di Sadong di sini dijadikan pusat kuarantin menjadikan jumlah keseluruhan di negeri itu 20 buah.

Beliau juga berkata, pihaknya menerima beberapa aduan mengenai perkhidmatan dan aspek fizikal 3 daripada pusat kuarantin terbabit, iaitu Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Institut Latihan Kementerian Kesihatan di Bukit Padang dan Politeknik Kota Kinabalu, dan tindakan akan diambil oleh Jabatan Kesihatan dan agensi terbabit.

Klip video berkenaan salah satu pusat berkenaan tular di media sosial baru-baru ini. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *