Pakej Bantuan COVID-19 Sabah Bersifat Ambil Peduli Denyut Nadi Rakyat

 Ma’mun Sulaiman

TAWAU: Pakej Bantuan COVID-19 Sabah yang berjumlah RM670 juta merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk mengambil peduli denyut nadi rakyat yang terbeban dengan masalah wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman berkata, dalam pakej bantuan ini kerajaan Sabah sudah menyatakan kesediaannya memberikan bantuan untuk memberikan pengecualian bil air dan diskaun 30 peratus bil elektrik.

“Disamping itu, bantuan khas sebanyak RM500 (one-off) kepada golongan kurang berkemampuan juga dilihat tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesusahan rakyat menjalani kehidupan selama berada dalam PKP ini,” katanya.

Menurutnya, peruntukan RM30 juta untuk memberikan elaun kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sangat dihargai kerana mereka merupakan barisan hadapan yang menjaga komuniti di kampung masing-masing.

“Sebelum ini kerajaan Persekutuan telah membekukan elaun MPKK dan sangat menyukar semua MPKK yang ada di Sabah. Oleh itu, keprihatinan kerajaan terhadap barisan hadapan di kampung merupakan tindakan yang tepat.

“Kami sebagai wakil rakyat sangat menghargai bantuan segera kerajaan negeri untuk terus membantu rakyat dan ianya juga harus diagihkan secara adil dan saksama,” katanya.

Ma’mun juga menasihatkan semua rakyat supaya akur dan reda dengan wabak yang menular sangat pantas. 

“Kita harus bekerjasama mematuhi arahan kerajaan supaya dapat memutuskan rantaian wabak dengan jayanya.

“Sekiranya masyarakat tidak mengambil peduli dan kurang kesedaran, maka penularan akan terus berjalan dan lebih ramai lagi bakal jadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri Sabah dan Persekutuan telah menyatakan beberapa jenis bantuan untuk rakyat buat masa ini.

“Bantuan itu harus disyukuri dan dimanfaatkan sepenuhnya kerana memang tidak dinafikan aktiviti ekonomi masyarakat terjejas teruk terutanya golongan miskin tegar dan B40,” katanya.

SumbeR: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *