Lelaki Dipenjara Sehari, Denda RM6,000 Langgar Sekatan PKP

SANDAKAN: Seorang lelaki dipenjara sehari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini kerana melanggar sekatan jalan raya dijalankan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.

Majistret, Sulaila Selag turut mengarahkan tertuduh Mohd Salleh Majid, 39, membayar denda sebanyak RM6,000 atau dipenjara 10 bulan jika gagal membayar.

Sebelum itu, tertuduh dikatakan memandu sebuah kenderaan bersama isteri serta dua anaknya dikatakan ditahan dalam sekatan jalan raya dilaksanakan polis di Kilometer 131 Jalan Sandakan-Lahad Datu, pada Selasa lalu.

Tertuduh mendakwa mahu pulang ke Semporna selepas melawat keluarga di daerah ini, tetapi diarahkan berpatah balik ke Sandakan.

Selepas kira-kira 30 meter perjalanan menuju ke Sandakan, lelaki terbabit membuat pusingan U menuju ke Lahad Datu dan memandu dengan laju hingga melanggar sekatan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata susulan kejadian itu, pihaknya meminta bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk menahan kereta lelaki itu.

Katanya, tertuduh kemudian ditahan dan didakwa ke mahkamah hari ini mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan masyarakat setempat agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar terhadap perintah itu. Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *