COVID-19: “Kami Sekeluarga Makan Ubi Sebab Mahu Jimat Penggunaan Beras.”

Monica Bangon

TUARAN: “Kadang-kadang kami sekeluarga makan ubi sebab mahu jimat penggunaan beras.”

Demikian luahan Monica Bangon, 49, penduduk Kampung Lontik Topokon di sini mengenai keadaan hidupnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Monica yang juga ibu tunggal kepada tiga anak berkata, penutupan kilang mengisar padi serta perkhidmatan lori yang mengambil getah juga dihentikan untuk mematuhi PKP di kawasan berhampirannya menyebabkan sumber pendapatan mereka terjejas.

“Ketika ini musim kemarau menyebabkan kami sukar menoreh dan Majlis Daerah Tuaran (MDT) juga mengisytiharkan bencana alam kemarau di daerah ini pada 13 Mac akibat cuaca panas berpanjangan tanpa hujan sejak dua bulan lalu.”

“Tambahan pula, PKP berkuat kuasa pada 18 Mac lalu menyebabkan kami tidak dapat mengisar hasil padi di kilang yang dituai kami sendiri.”

“Pusat pembelian getah di Tamparuli pula kembali beroperasi tetapi kami tiada kenderaan untuk menghantar getah sendiri,” katanya yang tinggal kira-kira 30 kilometer dari Pekan Tamparuli.

Menurutnya, dua anaknya bekerja di Kota Kinabalu namun diberi arahan bercuti disebabkan akur PKP.

“Selain seorang anak saya yang berusia 18 tahun, saya tinggal dengan empat ahli keluarga lain termasuk ayah saya.”

“Sebelum ini, kami mengusahakan kebun sayur, sawah padi dan kebun getah. Mujurlah kami ada pelihara ikan di kolam sendiri dan kami perlu berjimat menggunakan beras serta bergantung kepada tanaman ubi serta sayur-sayuran,” ujarnya.

Monica berkata, pihak pengurusan kampung sudah mendapatkan maklumat mereka untuk mendapatkan bantuan namun belum bantuan disalurkan sehingga kini.

Sementara itu, tukang kasut di Kiulu, Masdi Gadius, 34, berkata sumber pendapatannya turut terjejas.

“Sebelum ini, saya bergantung sepenuhnya terhadap pekerjaan ini dan meraih pendapatan sebanyak RM1,000 sehingga RM1,500 sebulan.”

“Namun, sejak PKP dikuatkuasakan, saya buntu dan hanya bergantung terhadap simpanan sendiri.”

Ditanya mengenai pelaksanaan lanjutan PKP yang diumumkan baru-baru ini, Masdi terdiam seketika.

“Ya.. baru-baru ini, kerajaan mengumumkan PKP dilanjutkan sehingga 14 April depan. Tidak tahulah apa nasib saya sekiranya dilanjutkan lagi.

“Saya cuma mampu berharap semua rakyat Malaysia mematuhi PKP. Jangan degil, bantu ‘barisan hadapan’ agar penularan wabak Covid-19 ini berjaya dibendung dan kami dapat bekerja semula,” jelasnya.- Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *