COVID-19: 15 Kes Positif Direkodkan Di Sabah Hari ni, Satu Kes Pertama Di Keningau

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan pertambahan 15 kes baru Covid-19, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 197 kes.

Keningau menjadi daerah terbaharu yang ‘terpalit’ dengan wabak Covid-19 apabila mencatat satu kes, hari ini.

Tawau dan Sandakan masing-masing bertambah empat kes hari ini manakala Kota Kinabalu dan Kinabatangan juga masing-masing meningkat tiga kes.

Statistik terbaharu berkenaan disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, sebentar tadi.

Sehingga kini, Tawau juga kekal sebagai daerah tertinggi merekodkan kes Covid-19 dengan jumlah 57 kes manakala Lahad Datu kedua tertinggi dengan jumlah 34 kes.

Kota Kinabalu pula daerah ketiga tertinggi dengan jumlah 29 kes manakala Sandakan yang meningkat empat kes, hari ini, kini menjadi daerah keempat tertinggi dengan jumlah 15 kes.

Sementara itu, Kinabatangan yang meningkat empat kes hari ini menjadi daerah kelima tertinggi dengan jumlah 14 kes manakala Tuaran yang tidak merekodkan pertambahan hari ini kini daerah keenam tertinggi dengan jumlah 12 kes.

Lain-lain daerah yang tidak mencatat peningkatan kes pada hari ini ialah Beaufort dan Kunak yang masing-masing kekal dengan tujuh kes, Putatan (6), Kota Belud (5), Sipitang (4), Papar (2), Ranau (2), Penampang (1) dan Semporna (1).

Setakat ini juga, jumlah kes pesakit yang telah sembuh ialah sebanyak sembilan orang iaitu masing-masing enam di Lahad Datu dan tiga di Sandakan.

Sabah setakat ini juga telah mencatat satu kes kematian iaitu di Tawau. Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *