COVID-19: 10 Kes Dicatatkan Di Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU: Kes Covid-19 di Sabah hari ini bertambah sebanyak 10 kes menjadikan jumlah keseluruhan, setakat ini, sebanyak 182 kes.

Pertambahan kes pada hari ini membabitkan lima daerah iaitu Tawau yang meningkat sebanyak tiga kes, Kota Kinabalu, Kunak, dan Putatan masing-masing sebanyak dua kes, serta Beaufort yang bertambah satu kes.

Statistik terbaharu berkenaan disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, sebentar tadi.

Tawau kekal sebagai daerah tertinggi merekodkan kes Covid-19 dengan 53 kes termasuk tiga kes baru, hari ini.

Lahad Datu pula yang tidak merekodkan kes baru hari ini kekal daerah kedua tertinggi dengan 34 kes manakala Kota Kinabalu yang meningkat dua kes kekal daerah ketiga tertinggi dengan jumlah 26 kes.

Sementara itu, Tuaran juga kekal daerah keempat tertinggi dengan 12 kes manakala dua daerah berjiranan iaitu Sandakan dan Kinabatangan masing-masing kekal dengan 11 kes.

Daerah Kunak yang bertambah dua kes hari ini kini merekodkan jumlah sebanyak tujuh kes setakat ini iaitu jumlah sama yang dicatatkan Beaufort yang turut bertambah satu kes, hari ini.

Jumlah di Putatan juga kini menjadi enam kes susulan peningkatan dua kes di daerah berkenaan, hari ini.

Lain-lain daerah yang merekodkan Covid-19 setakat ini ialah Kota Belud dengan lima kes, Sipitang (4), Ranau (2), Papar (2), Penampang (1) dan Semporna (1).

Selain itu sebanyak sembilan kes Covid-19 di Sabah dilaporkan telah sembuh daripada penyakit berkenaan iaitu enam di Lahad Datu dan tiga di Sandakan.

Setakat ini juga, Sabah telah merekodkan satu kes kematian akibat Covid-19 iaitu di Tawau.

Dalam pada itu, Sabah kini menjadi negeri keempat tertinggi selepas Selangor yang mencatat 546 kes, Kuala Lumpur (323), dan Johor (259) – Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *