13 Individu Ditangkap Langgar PKP Di Sabah

Zaini bersama Pasukan Polis Marin (PPM) menjalankan tinjauan di sekitar Pulau Gaya dalam Op Covid, pagi tadi. Gambar Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Polis Sabah menahan 13 individu kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini dalam Op Covid-19 sejak 18 Mac lalu sehingga semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, daripada jumlah itu seramai lapan individu ditahan ketika memancing di Kudat, semalam.

“Jumlah selebihnya ditahan di Kota Kinabalu seramai tiga orang manakala Kunak dan Kinabatangan masing-masing satu tangkapan.

“Semua yang ditahan berusia 20 hingga 33 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan Op Covid-19 di perairan Pulau Gaya di sini, hari ini.

Zaini berkata, daripada jumlah itu juga, dua individu yang ditahan di Kota Kinabalu sudah dituduh di mahkamah.

“Tangkapan 13 orang ini nampak kecil tetapi kita mesti lakukan untuk memberi kesedaran kepada yang lain supaya jangan memandang mudah arahan PKP,” katanya.

Menurutnya lagi, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 46,743 kenderaan sudah diperiksa dan daripada jumlah itu sejumlah 1,164 kenderaan diarah berpatah balik kerana tiada keperluan untuk mereka bergerak.

Sementara itu, tinjauan Ops Covid-19 di Pulau Gaya pagi tadi, Zaini berkata tahap kesedaran sangat baik kerana suasana di kawasan pulau itu lengang.

SumbeR: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *