Pekerja Ladang Di Lahad Datu Ingkar PKP

Pekerja ladang yang dikesan giat menjalankan aktiviti perladangan diminta berhenti dan berkumpul. foto ihsan Polis

LAHAD DATU: Walaupun ada arahan tidak menjalankan sebarang aktiviti perladangan, namun sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Segama, Lahad Datu dikesan gagal mematuhinya hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pemeriksaan yang dilakukan di ladang itu pada jam 11 pagi mendapati pekerja giat menjalankan tugasan masing-masing.

“Kami kemudiannya meminta pengurus ladang mengumpulkan seramai 25 pekerja berusia 20 hingga 47 tahun dan diberikan taklimat dan amaran.

“Pengurus itu juga dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk memberikan keterangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasri berkata, pihaknya sekali lagi mengingatkan mana-mana pengurus ladang atau kilang kelapa sawit yang masih berdegil dan gagal mematuhi arahan kerajaan akan dikenakan tindakan tegas.

“Tindakan tangkapan juga akan diambil terhadap mereka mengikut Seksyen 22, 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Justeru, kami menyeru semua pihak mematuhi peraturan yang sudah dikeluarkan,” katanya.

Terdahulu, arahan penutupan operasi semua ladang dan kilang kelapa sawit di Lahad Datu, Tawau dan Kinabatangan dikeluarkan kerajaan Negeri Sabah selepas mengesan beberapa pekerja dari ladang di daerah itu positif Covid-19. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *