Pakej Bantuan Covid-19 Sabah Terbaik & Bersifat Menyeluruh – Peter Anthony

KENINGAU: Pakej Bantuan Covid-19 yang diumumkan Ketua Menteri disifatkan sebagai pakej menyeluruh yang mengambil kira semua rakyat termasuk penduduk di kawasan luar bandar.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, pakej bantuan ini membolehkan beberapa golongan miskin dan penduduk luar bandar seperti petani turut mendapat imbuhan.

Beliau berkata, pakej ini lebih baik berbanding Sarawak kerana ia bersifat menyeluruh dalam membantu semua rakyat yang tidak mempunyai pendapatan dan pekerjaan tetap.

“Oleh itu, saya berharap jawatankuasa yang telah diamanahkan bagi mengagihkan bantuan dibawah Pakej Bantuan Covid-19 ini memberi bantuan tu secara saksama tanpa mengira latar belakang agama mahupun pegangan politik mereka.

“Kita akan memastikan semua golongan yang sepatutnya dibantu akan diberikan bantuan kerana mereka layak dibantu,” katanya selepas Program Penyerahan Bantuan bagi kawasan Bingkor dan Liawan, di sini semalam.

Mengenai pengecualian bayaran air dan diskaun bil elektrik, Peter berkata, langkah pengecualian itu akan membantu penduduk yang kehilangan sumber pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa hingga 14 April.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap ini berkata, Ketua Menteri mengambil kira masalah rakyat yang kehilangan sumber pendapatan kerana ada antara mereka yang bercuti tanpa gaji dan ada yang bekerja dengan pendapatan harian.

“Atas sebab itu, kerajaan memutuskan untuk mengecualian pembayaran bil air dalam tempoh tiga bulan dan diskaun bil elektrik dalam tempoh sama.

“Diharap dengan pengecualian dan diskaun ini akan dapat membantu meringkankan bebanan penduduk kampung yang tidak punya pendapatan tetap dan terjejas sepanjang PKP,” ujarnya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai Pakej Bantuan Covid-19, boleh menghubungi Pusat Arahan Covid-19 Sabah di laman-laman berikut:-

Dashboard : covid19.sabah.digital

Twitter : @CovidSabah

Instagram : sabahcovid19

Facebook : Sabah Covid-19 Command Centre

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *