Dua Lelaki Pertama Di Sabah Di Penjara Halang PKP

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah menghalang anggota polis yang menjalankan tugas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Dua lelaki menjadi individu pertama di Sabah didenda dan dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana menghalang anggota polis yang menjalankan tugas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kedua-dua tertuduh Yong Tze Hou, 26, pekerja di restoran milik keluarganya dihukum penjara 10 bulan manakala Injimar Abu Gafar, 33, dikenakan denda RM6,000 atau penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Stephanie Sherron Abbie selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum kerana ia adalah kesalahan pertama dan kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Tze Hou diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula tarikh dia ditangkap semalam dan Injimar akan dirujuk kepada pihak Imigresen.

Berdasarkan fakta kes, Tze Hou didakwa menghalang penjawat awam iaitu seorang anggota polis daripada melakukan tugas ketika menjalankan rondaan di kawasan Jalan Kampung Cenderakasih sehingga ke Jalan Bukit Bendera sehingga berlaku insiden mengejar pada jam 1.30 pagi semalam.

Sementara Injimar, pemegang kad pengenalan merah didakwa menghalang pejawat awam iaitu seorang pegawai polis berpangkat Inspektor menjalankan tugas dalam sekatan jalan raya apabila enggan bekerjasama dan mengeluarkan kata-kata kesat di Jalan Tuaran Batu 7, Inanam pada jam 9.15 malam, Isnin lalu.

Pertuduhan terhadapnya kedua-dua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Khairul Anuar Abd Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum, untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *