Tiada Bayaran Bil Air Tiga Bulan

KOTA KINABALU: Bermula April ini, semua pengguna air domestik seluruh Sabah dikecualikan pembayaran bil air selama tiga bulan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, menerusi Pakej Bantuan COVID-19 Sabah, kerajaan negeri bersetuju mengecualikan pembayaran berkenaan sebagai langkah meringankan beban dan kos sara hidup rakyat akibat jangkitan COVID-19.

Beliau berkata, langkah berkenaan dijangka memberi faedah kepada seramai 335,000 pengguna air domestik di negeri ini.  
 
“Tenaga elektrik juga keperluan asas dan kritikal kepada rakyat. Justeru, diskaun sebanyak 28 peratus akan diberikan ke atas pembayaran bil elektrik untuk tempoh tiga bulan bermula April 2020.

“Ia juga sebagai tambahan kepada diskaun dua peratus yang diumumkan oleh kerajaan Persekutuan. Pemberian diskaun ini akan melibatkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM11.5 juta sebulan atau RM35.65 juta untuk tempoh tiga bulan.

“Langkah ini dijangka akan memberi manfaat kepada 512,000 pengguna atau bersamaan sekitar 98 peratus pengguna tenaga elektrik di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya pada sidang media di sini.

Sementara itu, pihaknya juga memberikan pengecualian pembayaran sewa rumah selama enam bulan kepada keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di rumah-rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh Sabah.

Shafie berkata, pengecualian berkenaan mula dilaksana pada April ini dan akan memberi faedah kepada 20,080 isi rumah dan seramai 110,400 orang dengan kos sekitar RM21.1 juta kepada kerajaan negeri. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *