Shafie Jamin Bantuan Sampai Dengan Segera, Tidak Perlu Keluar Rumah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan pelbagai bantuan yang telah diumumkan dalam Pakej Bantuan Covid-19 Sabah termasuk pemberian makanan kepada golongan miskin dan miskin tegar akan disegerakan.

Beliau sehubungan itu mengingatkan rakyat agar tidak perlu keluar dari rumah kerana agensi keselamatan termasuk Unit Pejabat Pembangunan Masyarakat (UPPM) di setiap daerah telah ditugaskan untuk menghantar bantuan tersebut ke rumah setiap penerima.

Katanya, kelewatan mungkin berlaku disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuat kuasa, namun beliau memberi jaminan semua bantuan itu akan sampai kepada rakyat.

“Bantuan-bantuan ini kalau contohnya bekalan makanan yang kita sediakan beberapa juta ringgit untuk memastikan masyarakat kita yang berada di kampung, di bandar yang kita golongkan sebagai miskin, miskin tegar yang tiada keupayaan mereka keluar rumah pasal mereka kita halang keluar rumah dalam keadaan itu sudah pasti tidak akan dapat akses kepada bekalan makanan.

“Maka, kita telah susun satu langkah bagaimana untuk mengatasi masalah ini maka kita telah minta Unit Pejabat Pembangunan Masyarakat akan bergerak ke seluruh kampung-kampung di seluruh Sabah bersekali dengan Rela dan polis untuk memantau supaya pembahagian bungkusan makanan  contohnya jenis makanan yang kita akan bekalkan beras tepung gula teh kopi dan minyak masak pelbagai untuk memastikan ini dapat kita sampaikan ke peringkat rumah-rumah, kampung-kampung masyarakat yang berdepan dengan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar ketika mengumumkan pakej bantuan berkenaan.

Katanya, bagi golongan peniaga yang mahu memohon pinjaman daripada Skim Kredit Mikro dan Dana Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang disediakan, Perbadanan Pinjaman Sabah telah diberikan tugasan untuk melaksanakannya.

Sehubungan itu, beliau berharap setiap pemohon dapat menghubungi semua cawangan pejabat berkenaan bagi membuat permohonan dan mendapatkan maklumat lanjut.

“Untuk SME dan peniaga kita letak kewangan itu di bawah Perbadanan Pinjaman Sabah dan ini telah saya lakukan sejak tahun lepas di mana kita ingin membantu masyarakat peniaga-peniaga kecil yang terjejas pada musim ini oleh Covid-19 dan mereka ini boleh berhubung dengan semua cawangan perbadanan pinjaman sabah yang ada untuk meminta pinjaman.

“Daripada yang kita berikan dari dua peratus untuk peniaga-peniaga dan peniaga kecil sederhana 3.5 peratus satu kadar yang cukup rendah yang membolehkan mereka mendapat bantuan dalam keadaan kemungkinan peralatan telah rosak,” katanya.

Skim Kredit Mikro sebanyak RM40 juta dan Dana IKS sebanyak RM90 juta merupakan antara dua perkara dalam Pakej Bantuan Covid-19 Sabah untuk membantu golongan penjaja serta peniaga kecil dan sederhana yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *