Lari Dari ‘Roadblock’, Kereta Habis Minyak

Suspek semasa ditahan pihak polis selepas kejadian kejar mengejar selama hampir kira-kira dua jam sekitar sini.

Lelaki positif syabu lari dari sekatan jalan raya ditahan polis

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan yang melarikan diri daripada pihak polis selain merempuh sekatan jalan raya berjaya ditahan polis di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek berumur 26 tahun itu ditahan di Jalan Bukit Bendera di sini selepas dikejar polis kira-kira dua jam di sekitar sini.

“Kejadian bermula jam 1 pagi apabila polis mengesan sebuah kereta jenis kompak dinaiki suspek bersama seorang lagi wanita dan bayi berumur 22 hari dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri kenderaan terbabit di kawasan Metro Town, di sini.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek bertindak memecut kenderaannya sebelum dikejar kereta peronda polis berkenaan,” katanya.

Beliau berkata suspek kemudian merempuh sekatan jalan raya yang dijalankan di Jalan Lintas dan terus memecut kenderaannya di beberapa kawasan sekitar pusat bandaraya.

“Kira-kira dua jam selepas itu, suspek menghala ke Jalan Bukit Bendera sebelum keretanya terbabas di tepi jalan akibat kehabisan minyak dan akhirnya ditahan polis,” katanya.

Habibi berkata hasil soal siasat yang dijalankan mendapati suspek mengaku melarikan diri daripada polis akibat takut ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Suspek turut mengaku baru selesai menagih dadah dan pernah ditahan di sebuah pusat serenti di Kuala Lumpur sebelum ini selepas melakukan dua kali kesalahan menagih dadah.

“Wanita yang bersama suspek adalah warga Filipina berumur 31 tahun dan isteri kepada rakannya yang mempunyai dokumen, iaitu mendapat kerakyatan untuk berada di negara ini,” katanya.

Habibi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Polis kerana menghalang tugas polis.

SumbeR: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *