Kumpit Baru Tiba Di Sandakan Diarah Balik Filipina

Azhar berkata sesuatu kepada juragan dan anak kapal kumpit bagi mengarahkan mereka balik ke negara asal.

SANDAKAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Maritim Malaysia telah mengarahkan sebuah kumpit dari negara Filipina yang baru tiba di Sandakan, untuk balik ke negara asal ekoran Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak COVID-19.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, pihaknya telah mengesan satu kumpit dari Filipina memasuki perairan Sabah untuk membuat ‘transhipment’.

“Namun arahan telah dikeluarkan oleh kerajaan untuk memastikan kumpit-kumpit dari Filipina diarahkan untuk balik,” katanya.

Beliau yang mengetuai rondaan bersama itu berkata pihaknya telah arahkan mereka balik ke negara asal dan mereka mematuhi.

“Pihaknya telah mengiringi kumpit berkenaan keluar dari perairan Sandakan. Kumpit-kumpit terbabit tidak boleh memasuki negeri Sabah bermula hari ini (semalam) sehingga PKP ini tamat,” katanya.

Azhar berkata demikian selepas membuat rondaan PDRM bersama Maritim Malaysia di Perairan Sandakan.

Hadir sama, Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten (M) Zainuddin Mohd Zuki dan ASP Risik dan Operasi, Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan Asisten Superintendan (ASP) Safri Anuar Jamin.

Dalam pada itu, Azhar berkata pihak polis Sandakan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) dan Maritim Malaysia telah mengadakan rondaan di sekitar perairan Sandakan.

Beliau berkata pihaknya telah dapati keadaan perairan Sandakan terutama di pesisiran pantai agak lengang, cuma ada nelayan-nelayan persendirian.

“Polis Marin dan Maritim Malaysia juga membuat hebahan kepada penduduk-penduduk terutama mereka yang tinggal di pesisiran pantai, contoh di Kampung Sim-Sim, Tinosa, Mangkalinau dan Pulau Berhala agar mematuhi arahan PKP dan sentiasa berada di rumah,” katanya.

Azhar juga menasihati semua bot penambang dari pulau-pulau di sini untuk menghadkan pergerakan mereka bagi memasuki Bandar Sandakan.

“Kalau pun mahu memasuki Bandar Sandakan, kena ada tujuan mendesak. Contohnya bagi mendapatkan rawatan perubatan dan membeli bekalan makanan. Itu saja yang boleh kita benarkan.

“Kalau tidak ada alasan kukuh, kita arahkan pihak Maritim Malaysia dan Polis Marin yang membuat kawalan di perairan untuk mengarahkan mereka balik,” tegasnya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *