COVID-19: Tiada Pertambahan Kes Baharu Di Sabah

KOTA KINABALU: Buat pertama kalinya selepas kes pertama Covid-19 dilaporkan di Sabah pada 12 Mac lalu, tiada sebarang kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di negeri ini.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan,  tiada sebarang kes baharu dilaporkan hari ini.

Setakat semalam, Menteri Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat menyatakan, jumlah keseluruhan kes Covid-19 dilaporkan di Sabah adalah sebanyak 170 kes.

Semalam, hanya daerah Tawau menunjukkan peningkatan satu kes sementara, daerah-daerah lain tiada sebarang pertambahan kes.

Bagaimanapun, satu kes di Kota Kinabalu dipindahkan ke daerah Penampang menjadikan Penampang sebagai daerah baru yang dimasukkan dalam statistik kes positif Covid-19 di Sabah.

Beliau berkata, daerah Tawau yang mencatatkan satu kes kematian sebelum ini kekal mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 49 kes.

Sementara Lahad Datu 34 kes, diikuti dengan Kota Kinabalu dengan 23 kes.

Manakala, daerah Tuaran melaporkan 12 kes; Kinabatangan dan Sandakan mempunyai 11 kes; enam kes di Beaufort;  lima kes masing-masing di Kota Belud dan Kunak.

Manakala, empat kes masing-masing di Sipitang dan Putatan; dua kes di Papar dan Ranau serta satu di Semporna dan Penampang.

Semalam, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi menyatakan Sabah berdepan kekurangan reagen untuk membolehkan sampel ujian bagi mengesan kes positif Covid-19 dijalankan oleh Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu.

Merujuk kepada situasi itu, beliau berkata, bilangan kes yang dilaporkan setiap hari di Sabah tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Sehingga kini, KKM melaporkan 19 kematian di seluruh Malaysia termasuk tiga kes kematian hari ini.

Setakat hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 172 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 1,796 kes termasuk 199 kes yang telah pulih sepenuhnya.

Daripada 172 kes baharu itu, 71 adalah daripada kluster perhimpunan tabligh.

Sebanyak 45 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 34 kes memerlukan alat bantuan pernafasan. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *