Shafie Sampaikan Sumbangan Topeng Muka, Sanitizer Kepada Kakitangan Barisan Hadapan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah mengedarkan sebanyak 88,500 keping topeng muka dan 1,174 botol cecair pembasmi kuman (sanitizer) kepada jabatan-jabatan Kerajaan Persekutuan dan negeri yang berada di barisan depan mengekang penularan Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, lebih banyak lagi barangan keperluan kesihatan itu akan diedarkan termasuk kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas stok baharu tiba esok.

Sebahagian daripada peralatan itu telah diedarkan kepada wakil setiap jabatan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pagi ini.

“Tadi pagi saya sudah edarkan kepada barisan depan dulu iaitu semua jabatan-jabatan yang ada polis, kesihatan, pelajaran, imigresen dan mungkin esok bila bekalan datang beberapa kotak lagi akan sampai dan kita akan edarkan semuanya.

“Bukan hanya pada barisan depan bahkan juga di kawasan-kawasan kerajaan tempatan di sana ada orang-orang yang mudah dijangkiti,” katanya dalam sidang akhabr selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah hari ini.

Katanya, sanitizer akan turut dihantar di beberapa buah sekolah di negeri ini yang mempunyai masalah bekalan air untuk memastikan kebersihan di sekolah itu dapat dikekalkan.

Mohd. Shafie berkata, bagi masyarakat yang berada di rumah mereka tidak perlu menggunakan topeng muka dan hanya kerap membersihkan diri menggunakan sabun untuk menjaga kebersihan.

“Maka dengan itu kita minta supaya masyarakat jangan keluar kalau mereka tidak keluar, maka tidak perlu topeng muka dan ini pun tidak bermaksud 100 peratus anda boleh elakkan itu cuma untuk mengelakkan sahaja keadaan ini supaya jangan berlaku tetapi kalau kita berada di rumah tidak perlu ada topeng muka mungkin cuma perlu basuh dengan sabun.

“Tapi ada sekolah-sekolah di Sabah tidak ada air maka kita edarkan sanitizer,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *