Op Covid-19: PPM Gerakkan Aset Laksana Kawalan Perairan Sabah

KOTA KINABALU: Sebanyak 20 buah bot Pasukan Polis Marin (PPM) dengan kekuatan anggota seramai 322 orang digerakkan bagi melakukan kawalan di perairan laut Sabah seiring dengan usaha memerangani penularan wabak Covid-19.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, langkah menjaga dan mengawal keselamatan perairan Sabah itu dilakukan selaras dengan Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 dalam mengekang dan memerangi jenayah rentas sempadan di perairan negara.

Dalam kawalan laut itu, tujuh daerah mewujudkan pusat pemeriksaan di laut bagi mengekang pergerakan penduduk pulau yang ingin ke bandar dan sebaliknya selaras dengan Op Covid-19.

Tujuh pusat pemeriksaan yang diwujudkan adalah di Laut Pulau Papan & Laut Patau-Patau di PPM Labuan; Laut Safma dan Laut Sepanggar, di PPM Kota Kinabalu; Laut Pelabuhan dan Pancang Esplanade di PPM Kudat; Laut Pulau Berhala dan Laut Pelabuhan di PPM Sandakan; Laut Pulau Sakar dan Laut Pelabuhan di PPM Lahad Datu; Laut Sum-Sum dan Laut Pelabuhan di PPM Semporna serta Laut Sabindo dan Laut Pelabuhan di PPM Tawau.

Mohamad Pajeri berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana PPM lebih kepada menjalankan langkah pencegahan bagi melarang orang ramai keluar rumah jika tiada keperluan penting. –BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *