Ketua Menteri Umum Pakej Rangsangan Ekonomi Sabah Esok

KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Sabah esok dalam usaha membantu setiap lapisan masyarakat di negeri ini berdepan dengan pelbagai kesukaran yang dihadapi sepanjang tempoh usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Ketua Menteri berkata, pakej yang berorientasikan kepentingan rakyat itu merangkumi keseluruhan masyarakat dalam usaha memastikan kehidupan rakyat terjaga termasuk bekalan makanan yang mencukupi.

“Untuk makluman esok selepas (mesyuarat) Kabinet saya akan umumkan pakej rangsangan ekonomi yang ada untuk maklumkan apa langkah-langkah yang kita akan ambil sebagai kerajaan negeri.

“Semua ini ‘people centric’ pendekatan yang kita lakukan dalam memastikan pengawalan yang ada kita juga pastikan bahawa makanan ada, bukan hanya kita kawal mereka tidak boleh bergerak tetapi kalau makanan di rumah tidak ada susah nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.

Mohd. Shafie berkata, rakyat tidak perlu risau dengan keperluan bekalan makanan asas kerana kerajaan sentiasa memastikan jumlah yang ada mencukupi sejak Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

Tegas beliau, di kawasan pedalaman bekalan makanan turut diagihkan oleh setiap wakil rakyat, malah beliau telah memberi arahan kepada setiap pemimpin berkenaan untuk menggunakan peruntukan yang ada bagi mendapatkan bekalan.

“Buat setakat ini kita sudah maklumkan semua yang berhormat kita sudah ada, contoh di kawasan saya sendiri pun sudah ada bekalan makanan yang asas seperti beras, tepung, gula, minyak masak, makanan tin seperti sardin contoh untuk membolehkan supaya mereka akan mendapat bantuan buat setakat ini.

“Ini yang kita lakukan di Sipitang pun sudah, di Kemabong semua sudah saya sudah maklumkan yang berhormat-yang berhormat gaji dan bantuan mereka yang sudah sedia ada mereka boleh gunakan sebelum ini yang pernah kita edarkan,” katanya.

Ketua Menteri berkata, semua pelajar Sabah di Semenanjung juga telah mendapat bekalan makanan harian yang disediakan kerajaan negeri, justeru mereka tidak perlu keluar selalu untuk membeli barangan makanan.

Sementara itu katanya, semua institusi pengajian di Sabah yang mempunyai asrama atau hostel seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), politeknik dan di mana sahaja juga telah mendapat bekalan makanan yang secukupnya untuk diagihkan kepada para penghuninya.

“Di negeri Sabah kita berhubung rapat dengan universiti UMS 4,000 pelajar di situ kita sudah bagi garis panduan jangan ada himpunan ramai, bekalan makanan juga kita sediakan bukan hanya universiti mana-mana politeknik yang ada, mana-mana institusi yang ada asrama kita akan bagi bantuan makanan.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *