Semua Masjid, Surau Di Sabah Diarah Guna Duit Tabung Bantu Asnaf

KOTA KINABALU : Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah  (JHEAINS) mengarahkan semua masjid dan surau di negeri ini menggunakan wang tabung masing-masing bagi membantu golongan Asnaf sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Pengarah JHEAINS, Datuk Saifulzaman Sanggul dalam satu kenyataan hari ini berkata, golongan itu pastinya terkesan susulan perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan berikutan penularan Covid-19.

“Justeru, atas sifat kemanusiaaan dan menjadi tanggungjawab, mohon jasa baik pengerusi masjid seluruh Sabah untuk menggunakan wang tabung masjid untuk meringankan beban mereka dengan memberikan barangan keperluan dapur berdasarkan peraturan berikut.

“Barangan dapur disediakan oleh  ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan ditempatkan di masjid masing-masing.

“Jika sekiranya golongan Asnaf atau golongan yang memerlukan mengalami masalah perhubungan, AJK masjid akan menghantar keperluan dapur tersebut ke lokasi mereka yang dikenal pasti,”katanya.

Tambahnya, pihak masjid haruslah membuat hebahan melalui WhatsApp dan sebagainya untuk membenarkan hanya ketua rumah Asnaf sahaja yang boleh mengambil bantuan itu di pintu pagar.

Sebelum ini, Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Mohktar juga pernah  memberi arahan kepada masjid dan surau di negeri ini untuk menggunakan wang tabung demi meringankan beban golongan Asnaf sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini  tamat. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *