Kebakaran: 17 Penghuni Hilang Tempat Tinggal Di Pulau Bum Bum

Kebakaran memusnahkan 3 buah rumah di Kampung Gusung Melanta, Pulau Bum Bum malam tadi.

SEMPORNA: Seramai 17 penghuni tiga buah rumah di Kampung Gusung Melanta, Pulau Bum-Bum, Semporna hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Ketua Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Semporna, Fazizul Hizam Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 9.25 malam.

Susulan itu, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, diketuai PBKI Abdul Kadir Halalan dikejarkan ke tempat kejadian.

Kebakaran memusnahkan 3 buah rumah di Kampung Gusung Melanta, Pulau Bum Bum malam tadi.

Bagaimanapun pasukan Bomba mengalami kesukaran untuk sampai di lokasi dan terpaksa menggunakan jalan altenatif lain berikutan keadaan air laut surut.

“Setiba di lokasi kejadian, didapati tiga rumah jenis separuh kekal musnah terbakar manakala sebuah lagi terbakar 10 peratus pada bahagian dinding.

“Api berjaya dikawal pada 10.55 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya sejam kemudian,” katanya ketika dihubungi, di sini pagi ini.

Beliau berkata, tiada kecederaan mahupun kehilangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu sementara punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Semua penghuni terbabit dilaporkan kini menumpang di rumah saudara mara masing-masing. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *