COVID-19: 300,000 Penduduk Dunia Sudah Dijangkiti

Lebih 300,000 orang sudah dijangkiti dan 12,944 orang telah mati akibat penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia. – Foto 123RF

SHAH ALAM – Lebih 300,000 orang kini sudah dijangkiti dan 12,944 orang mati akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19) berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Universiti Johns Hopkins.

Itali dilaporkan mencatatkan korban Covid-19 teramai dalam sehari iaitu 793 pada Sabtu lalu.

Sementara itu di luar China, jumlah kes disahkan bertambah kepada 184,657.

Itali mencatatkan 53,578 kes sejak wabak mula dikesan pada 21 Februari. – Foto Reuters

Itali, Sepanyol, Iran, Jerman, Amerika Syarikat dan Perancis antara negara paling teruk terjejas, kesemuanya merekodkan lebih 10,000 kes dan negara-negara ini mencatatkan lebih 130,000 jangkitan.

Itali melaporkan 6,557 kes baru pada Sabtu, menjadikan keseluruhan sebanyak 53,578 sejak wabak mula dikesan pada 21 Februari.

Kematian yang dicatatkan dalam tempoh 24 jam itu tertinggi dicatatkan, menjadikan jumlah korban sebanyak 4,825.

Boris Johnson – Foto AFP

Di Sepanyol, kes jangkitan menghampiri 25,000 pada Sabtu menjadikan keseluruhan sebanyak 5,000. Seramai 326 pesakit pula meninggal dunia dengan jumlah keseluruhan 1,328.

Di Perancis, 112 kematian dilaporkan manakala kes jangkitan sebanyak 1,847 meningkat kepada 14,459.

Seramai 6,172 orang dimasukkan ke hospital termasuk 1,525 pesakit berada di dalam unit rawatan rapi, separuh daripadanya di bawah umur 60 tahun.

Giuseppe Conte – Foto AFP

United Kingdom pula menyaksikan kes terkini sebanyak 5,018, dengan 233 kematian.

Sebanyak 30 lagi kematian dilaporkan di Belanda, 136 orang meninggal dunia, 637 disahkan dijangkiti dengan keseluruhan kes 3,631.

Pada Sabtu juga Cyprus, Finland, Lithuania, Bosnia dan Herzegovina masing-masing melaporkan kematian pertama akibat Covid-19.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson memberi amaran bahawa Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) akan menerima lebih ramai pesakit Covid-19 kerana negara itu berada dua hingga tiga minggu di belakang Itali.

Narenda Modi – Foto: AFP

“Angka ini memang jelas dan ia semakin meningkat. Kita berada beberapa minggu, dua atau tiga minggu di belakang Itali.

“Mereka (Itali) mempunyai sistem kesihatan yang terbaik tetapi doktor dan jururawat mereka sudah tidak mampu untuk menerima jumlah pesakit yang ramai. Kematian di Itali sudah mencapai ribuan dan ia semakin meningkat.

“Kita perlu bekerjasama dan melakukan usaha secara kolektif untuk memperlahankan penyebaran wabak ini atau NHS kita juga akan mengalami jumlah pesakit yang sangat tinggi,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh CNN sempena Hari Ibu semalam.

Dalam kenyataan itu, Boris berkata, negara tersebut telah mengambil tindakan yang sangat tegas dan belum pernah diambil walaupun ketika negara itu dalam keadaan aman atau pun perang.

Sementara itu, Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte mengarahkan semua perniagaan dihentikan sehingga 3 April kecuali operasi perniagaan yang penting sahaja dibenarkan beroperasi.

Scott Morrison

“Hanya aktiviti pengeluaran yang penting untuk negara dibenarkan,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook yang disiarkan oleh Al-Jazeera.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez pula memberi amaran perkara buruk bakal melanda dan mahu seluruh rakyat di negara itu terus kuat.

“Kita mesti bersedia secara psikologi dan emosi. Risiko kini di mana-mana,” katanya dalam laporan CNN.

Perdana Menteri India, Narendra Modi pula menasihatkan 1.3 bilion rakyatnya supaya menyertai perintah berkurung rakyat atau dikenali sebagai Janata Curfew.

“Duduk dalam rumah dan kekal sihat,” katanya dalam satu ciapan di Twitternya.

Janata Curfew dikenakan dari jam 7 pagi hingga 9 malam bertujuan untuk memecahkan rangkaian jangkitan serta menilai keupayaan India untuk melawan pandemik tersebut.

Sementara itu, Presiden El Salvador, Nayib Bukele mengumumkan negara itu menjalani perintah berkurung selama 30 hari.

Bukele berkata, hanya seorang sahaja dibenarkan untuk keluar membeli barang keperluan, makanan dan ubat.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison mengumumkan penutupan kelab malam, panggung wayang, kasino dan tempat ibadat selepas mesyuarat Kabinetnya semalam.

Hanya perkhidmatan penghantaran ke rumah dan pasar raya sahaja yang dibenarkan beroperasi termasuk sekolah akan terus dibuka.

Jumlah kes positif Covid-19 di negara tersebut kini sudah mencapai sebanyak 1,315 orang. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *