Rumah Hangus Terbakar, Lelaki Melecur Mahu Selamatkan Dokumen

Rumah mangsa hangus 100 peratus.

KOTA MARUDU: Lelaki warga emas melecur jari ketika cuba menyelamatkan dokumen penting dalam kebakaran rumahnya di Kampung Kaliangau Pitas, Kota Marudu.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi semalam, Udian Unus, 64, yang melecur ringan dirawat sebagai pesakit luar.

Menurutnya, ketika kebakaran itu, dia dan isteri berusia 59 tahun bersama cucu lelaki mereka berumur enam tahun sedang menonton televisyen di rumah anak yang terletak bersebelahan rumahnya.

“Tiba-tiba asap tebal memasuki rumah menyebabkan kami keluar untuk meninjau keadaan dan terkejut melihat api sedang marak membakar rumah saya.

“Saya bergegas masuk untuk menyelamatkan dokumen penting termasuk kad pengenalan kami dalam laci almari.

“Namun almari itu yang sedang terbakar menyebabkan jari saya melecur,” katanya ketika dihubungi.

Udian berkata, dia sempat keluar semula dan cuba memadam kebakaran dengan bantuan penduduk sebelum bomba tiba.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada 11.06 pagi dan dua jentera bersama enam anggota dikerah ke lokasi.

“Sebaik tiba, rumah jenis separa kekal itu terbakar hampir 100 peratus dan tiada mangsa terperangkap.

“Hanya seorang mangsa mengalami cedera ringan dan api berjaya dikawal pada 12.50 tengah hari. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *