Jemaah Tabligh Korban Keempat COVID-19 Selamat Dikebumi

Petugas kesihatan yang berpakaian lengkap dengan peralatan perlindungan peribadi menguruskan pengebumian jenazah jemaah tabligh di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Chohong, Jasin, Melaka pada Sabtu.

JASIN: Jenazah mangsa wabak koronavirus (COVID-19) yang meninggal dunia awal pagi Sabtu di Hospital Melaka selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Chohong, Jasin sekitar pukul 2 petang ini.

Lelaki berusia 50 tahun itu merupakan mangsa keempat COVID-19 di negara ini selepas Sarawak, Johor dan Sabah.

Jenazah dibawa ke tanah perkuburan berkenaan pada pukul 1.30 petang diiringi petugas kesihatan yang berpakaian lengkap dengan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Hanya beberapa petugas termasuk imam masjid dan penggali kubur dibenarkan berada di sekitar kawasan perkuburan bagi menguruskan pengebumian jenazah berkenaan.

Sementara ahli keluarga serta rakan-rakan mangsa yang hadir dilarang menghampiri kawasan tanah perkuburan itu.

Difahamkan, terdapat beberapa ahli keluarga Allahyarham sedang menjalani kuarantin di hospital.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan kematian mangsa yang merupakan kes COVID-19 ke-238 daripada kluster jemaah tabligh Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Mangsa yang merupakan bekas tentera dimasukkan ke Hospital Melaka pada 12 Mac lalu selepas mengalami simptom pandemik berkenaan termasuk masalah pernafasan.

Mangsa meninggal dunia pada pukul 1.30 pagi selepas kesihatannya mula merosot ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Melaka.

Pandemik COVID-19 di Malaysia sehingga kini mencatatkan 1,183 kes dan telah meragut empat nyawa. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *