Lelaki ‘Dijemput’ Polis Jalani Saringan Covid-19 Di Labuan

Lelaki yang disyaki kontak Covid-19 dibawa sepasukan polis dan kakitangan Hospital Labuan, dari kediamannya di Labuan. Foto Ihsan Pembaca

LABUAN: Jabatan Kesihatan Daerah Labuan terpaksa mendapatkan bantuan polis untuk membawa warga emas yang enggan menjalani ujian saringan Covid-19 di Labuan, semalam.

Lelaki berusia 68 tahun itu kontak pertama anaknya yang menghadiri perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor, hujung bulan lalu.

Dia dikehendaki menjalani ujian dan kuarantin 14 hari di Hospital Labuan, namun enggan hadir secara sukarela meskipun sudah beberapa kali diarah berbuat demikian.

Keengganannya memaksa sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan ‘menjemputnya’ di rumah di Taman Mutiara, Sungai Beduan, Bebuluh, Labuan kira-kira 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, anggotanya hadir selepas siasatan pihak Hospital Labuan yang mendapati anak lelaki warga emas itu tinggal serumah dengannya.

Katanya, anak warga emas itu kini sedang menjalani kuarantin di hospital berkenaan.

“Pada 17 Mac lalu, warga emas itu diarah hadir secara sukarela tetapi dia tidak mengendahkan arahan, sebelum sepasukan petugas perubatan ke rumahnya untuk membawa lelaki itu.

“Ketika itu dia juga enggan memberi kerjasama menyebabkan polis dihubungi untuk bantuan.

“Seorang pegawai dan dua anggota polis memberi bantuan kepada pihak hospital dan menggunakan kekerasan secara minimum seperti peruntukkan Seksyen 15(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu berjaya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk menjalani ujian Covid-19 dan perintah kuarantin selama 14 hari di Pusat Kuarantin Hospital Labuan.

Video lelaki dijemput polis dan petugas perubatan turut tular di media sosial sejak malam tadi.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *