Covid-19: Terlalu Ramai Yang Maut, Itali Terpaksa Guna Trak Tentera Bawa Keluar Mayat Dari Wilayah Bergamo

Wilayah Bergamo antara bandar di Itali yang paling teruk dilanda wabak Covid-19, kini terpaksa memindahkan mayat-mayat keluar dari negeri itu berikutan tempat pembakaran mayat yang penuh.

Puluhan trak tentera dikerah masuk bagi memindahkan puluhan keranda dari Bergamo ke kawasan lain, menurut agensi berita Ansa.

Bandar yang terletak di timur laut Milan di wilayah Lombardy itu telah merekodkan sekurang-kurangnya 93 kematian akibat wabak Covid-19 yang terus meningkat saban hari.

Datuk Bandar Bergamo, Giorgio Gori berkata, bilangan sebenar kematian kemungkinan lebih tinggi berikutan ramai orang yang mempunyai gejala Covid-19 telah meninggal dunia sebelum diuji.

”Tempat pembakaran mayat Bergamo, bekerja dengan kapasiti penuh selama 24 jam sehari boleh membakar 25 mayat,” kata Jurucakap pihak berkuasa tempatan.

”Sudah jelas ianya tidak dapat menampung jumlah mayat dalam beberapa hari lalu,” katanya.

Difahamkan, keranda dibawa ke tempat pembakaran mayat di Modena, Acqui Terme, Domodossola, Parma, Piacenza dan beberapa bandar lain.

Sebaik sahaja mayat telah dibakar, abu akan dibawa pulang ke Bergamo.

Wakil media yang membuat liputan seperti Reuters, pada Isnin menyaksikan dua pengebumian setiap jam dalam tempoh enam jam berada di sana.

Kebanyakan mayat tidak dapat dikuburkan kerana permintaanya terlalu tinggi dan dibawa ke sebuah gereja, manakala tempat mayat di dua hospital juga telah penuh dengan keranda.

Setakat Khamis (19 Mac 2020), Itali berada dalam keadaan kritikal apabila angka kematian mencecah  3,405 orang, lebih tinggi dari China yang menjadi pusat penyebaran wabak.

Negara ini telah melaksanakan perintah berkurung sejak 9 Mac lalu namun kes positif jangkitan terus bertambah dengan 41,00 kes dilaporkan setakat semalam.

Sumber: Sky News, SiakapKeli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *