Covid-19: Sabah Sekat Kemasukan Peserta Ijtimak Tabligh Sulawesi, Tutup Terminal Bas Awam

Kerajaan Sabah menutup operasi terminal bas awam di seluruh negeri berikutan pergerakan penduduk di terminal bas daerah, sekali gus mengingkari perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa sehingga 31 Mac ini. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengambil tindakan menyekat serta-merta kemasukan jemaah tabligh dari Sabah yang menghadiri Ijtimak Tabligh Dunia Zon Asia 2020 di Gowa, Sulawesi Selatan, Indonesia pada 18 hingga 19 Mac lepas.

Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre yang diadakan hari ini sebagai langkah menangani penularan jangkitan wabak tersebut.

“Mereka (jemaah tabligh) tidak dibenarkan masuk ke Sabah untuk tempoh 14 hari bermula hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Safar berkata, mesyuarat itu turut memutuskan untuk menutup operasi terminal bas awam di seluruh negeri berikutan terdapat maklumat masih banyak pergerakan penduduk di terminal bas daerah masing-masing, sekali gus mengingkari perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa sehingga 31 Mac ini.

“Bagi menangani perkara tersebut, kerajaan negeri memutuskan supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah masing-masing menutup semua operasi terminal bas awam (Intra daerah) di seluruh negeri bermula 21 Mac hingga tamat tempoh perintah kawalan pergerakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Safar berkata, Sabah Covid-19 Command Centre juga memaklumkan terdapat beberapa isu telah diselesaikan dan dilaksanakan, termasuk isu pelajar Sabah terkandas di semua lapangan terbang di Semenanjung Malaysia.

“Ramai pelajar Sabah terkandas di lapangan terbang di Semenanjung Malaysia pada 18 Mac, namun, kerajaan negeri telah menyelesaikan isu ini pada 19 Mac melalui Kementerian Pelajaran dan Inovasi negeri serta Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur.

“Begitu juga dengan penumpang warganegara Malaysia yang terkandas di lapangan terbang di Semenanjung dan di Sarawak atau di Lapangan Terbang (Antarabangsa) Kota Kinabalu juga berjaya diatasi sepenuhnya pada jam 7 malam, 19 Mac,” katanya.

Sementara itu, Safar berkata, proses pembersihan serta penyahkuman juga dilakukan di 36 premis dan bangunan kerajaan Sabah mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan yang dipantau oleh pegawai Jabatan Kesihatan Sabah.

Proses sama turut dilakukan di 62 masjid dan 90 surau seluruh negeri sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan, katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Safar berkata, selain pengasingan di wad hospital, kerajaan Sabah juga membuka pusat kuarantin di beberapa daerah untuk menempatkan pesakit dalam siasatan (PUI) Covid-19 di negeri ini bermula 16 Mac lepas.

Pusat kuarantin tersebut ialah Rumah Rehat Ranau; Rumah Rehat Kinabatangan; Lembaga Minyak Sawit Malaysia di Lahad Datu; Projek Perumahan Rakyat Batu Putih di Sandakan; dan Kompleks Belia Tawau, katanya.

Di samping itu, kerajaan negeri juga mengarahkan PBT daerah mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap mana-mana premis yang tidak sepatutnya beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *