9 Kes Baharu Positif COVID-19 Di Sabah, Jadikan 112 Kes Positif Sehingga Semalam

KOTA KINABALU: Jumlah kes positif COVID-19 di Sabah terus meningkat dengan kes terkumpul sebanyak 112 kes setakat jam 5 petang semalam.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, jumlah keseluruhan  itu termasuk sembilan kes yang baharu dilaporkan.

Katanya, daripada sembilan kes baharu itu, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan masing-masing merekodkan dua kes.

Menurutnya, satu kes dilaporkan masing-masing di daerah Beaufort, Kinabatangan, Kota Belud, dan Putatan.

Beliau berkata, Sabah masih berada pada kedudukan negeri ketiga tertinggi jumlah kes positif COVID-19 dengan Selangor yang mencatat jumlah sebanyak 223 kes diikuti Kuala Lumpur sebanyak 123 kes.

Di Kuala Lumpur, Bernama melaporkan sebanyak 110 kes baharu positif COVID-19 disahkan setakat 12 tengah semalam, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 900 kes.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata 63 daripada 110 kes baharu itu berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, baru-baru ini.

“Sehingga kini, seramai 20 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di kementeriannya semalam.

Katanya sebanyak 15 kes telah pulih dan dibenarkan discaj dari wad hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada wabak itu adalah 75.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata kesedaran masyarakat tentang penjarakan sosial telah menyumbang kepada trend penularan wabak COVID-19 kekal di paras mendatar dalam tempoh beberapa hari terakhir. 

Beliau berkata penjagaan diri dalam aspek kebersihan dan pematuhan pada arahan yang dikeluarkan pihak Kementerian Kesihatan juga menyaksikan pertambahan kes baharu positif COVID-19 sejak beberapa hari lepas tidak menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding pada awal penularan wabak itu. 

“Setakat ini, kita belum boleh katakan trend itu disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tetapi lebih kepada kesedaran masyarakat, khususnya pematuhan arahan penjarakan sosial. 

“Kita harap dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini kita dapat putuskan rangkaian penyebaran wabak sekali gus menghalang COVID-19 daripada terus menular,” katanya. 

Bermula Isnin lepas, trend jumlah kes baharu positif COVID-19 yang direkodkan adalah 125 kes diikuti Selasa dan Rabu, masing-masing 120 dan 117 kes. 

Berhubung bagaimana tahap keseriusan kes diambil kira sekiranya kerajaan ingin melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan, Dr Adham berkata ia diukur berdasarkan jumlah kematian bukannya bilangan kes. 

“…dan di negara kita, bilangan kes baharu juga mula menunjukkan trend mendatar, petanda baik kepada cara dan langkah kawalan yang diambil kerajaan,” katanya.

Statistik COVID-19 mengikut negeri menunjukkan Selangor mencatat kes paling tinggi iaitu 223 kes; diikuti Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur (123), Sabah (112); Johor (101); dan Negeri Sembilan (56).

Sarawak pula mencatatkan 51 kes; Kelantan (44); Kedah (40); Perak (35); Pulau Pinang dan Pahang masing-masing 32 kes, Melaka (20); Terengganu (11); Perlis (sembilan); WP Putrajaya (enam) dan WP Labuan (lima). 

Dalam pada itu, Dr Adham menjelaskan dalam kesemua 900 kes itu, tiada warganegara Indonesia yang disahkan positif COVID-19.

Berhubung 83 rakyat Malaysia yang dikatakan berada di Sulawesi, Indonesia bagi menyertai perhimpunan tabligh, beliau berkata kesemua mereka dikehendaki menjalani saringan kesihatan dan kuarantin mandatori selama 14 hari.

Menurut laporan media, Acara Ijtima of Asia 2020 yang dijadualkan berlangsung di Gowa, Sulawesi Selatan dibatalkan bagi mengekang penularan virus COVID-19.

CNN Indonesia melaporkan, penangguhan acara itu selepas kerajaan Indonesia bekerjasama dengan tentera serta polis melarang orang ramai daripada berhimpun termasuk dalam aktiviti keagamaan.

Berhubung rakyat Malaysia yang terpaksa menetap di Singapura sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, beliau berkata mereka juga perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sekiranya terdapat ciri-ciri jangkitan selepas pulang ke Malaysia. 

“Kita juga akan menyediakan alat pengimbas suhu di pintu masuk sempadan Johor-Singapura bagi saringan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai potensi jangkitan dalam kalangan gelandangan, beliau berkata Majlis Keselamatan Negara memutuskan Kementerian Wanita dan Keluarga dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan mereka. – Utusan Borneo

https://www.facebook.com/FrankiePoonMingFung/photos/a.872069949638762/1439717509540667/?type=3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *