Tiada Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri – Shafie

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan tiada sambutan Hari Raya Aidilfitri di peringkat negeri Sabah akan diadakan tahun ini susulan jangkitan wabak Covid-19 yang kini memasuki gelombang ketiga.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah mengelakkan penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Beliau juga meminta umat Islam di negeri ini supaya menunaikan Solat Sunat Tarawih di rumah masing-masing bagi membendung penularan wabak tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 16 hingga 23 April ini juga hanya melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta beberapa pegawai yang dibenarkan sahaja.

Katanya, acara rasmi kawalan kehormat dan jamuan sempena perasmian sidang DUN tidak akan dijalankan demi membendung penularan wabak Covid-19.

Mengenai kemasukan pengunjung dari luar Sabah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatukuasa, Mohd Shafie berkata, perkara itu akan diselaraskan dengan Imigresen Kuala Lumpur bagi memastikan pergerakan terhad untuk mereka datang ke Sabah.

Bagi individu yang berasal dari Sabah dan mahu pulang ke Sabah pula, mereka perlu menjalankan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka betul-betul bebas daripada jangkitan Covid-19.

Katanya, berkemungkinan mereka mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19 seperti China mahupun Itali.

Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri (MKN), kerajaan negeri telah mengambil langkah drastik bagi membendung wabak Covid-19 ini sejak di peringkat awal dengan mengadakan sekatan penerbangan dari Wuhan, China.

“Masalah sekarang, wabak ini tersebar daripada rakyat Malaysia sendiri dan ia melibatkan modus operandi berlainan.

“Maka, kita kawal penularan ini dengan mengeluarkan perintah kawalan. Namun, ini bukan untuk membuatkan rakyat kita panik, tapi untuk memperlihatkan keseriusan kerajaan mengawal penularan wabak ini,” ujarnya.

Berkenaan barangan keperluan, beliau memberi jaminan bekalan barangan keperluan harian di Sabah mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa dari 18 hingga 31 Mac. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *