Tentera Akan Dikerah Jika Rakyat Terus Ingkar

Polis mengadakan sekatan jalan sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan semalam untuk mengingatkan rakyat tidak keluar rumah tanpa sebarang urusan penting dalam usaha membendung penularan Covid-19.

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya kira-kira 60% rakyat Malaysia mematuhi perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan semalam.

“Jika kita tidak mempunyai pilihan, jika pematuhan kekal pada 60% atau 70%, maka saya percaya ada kemungkinan besar tentera akan digunakan.”

Beliau berkata demikian pada sidang media hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat khas menteri berhubung pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di Perdana Putra.

Ismail Sabri Yaakob

Ismail berkata, polis akan mengadakan sekatan jalan sehingga 31 Mac ini untuk memberi penerangan kepada rakyat berhubung perintah kawalan pergerakan.

“Sejak semalam, 504 sekatan jalan dilaksanakan di seluruh negara dan 6,135 kenderaan diperiksa setakat hari ini.

“Polis mengambil tindakan berhemah, iaitu menasihat orang ramai supaya patuh kepada arahan (perintah kawalan pergerakan).

“Saya percaya kalau pematuhan ini tidak meningkat, akhirnya polis akan menggunakan tindakan lebih tegas. Polis telah arahkan semua ketua polis daerah melakukan pengumuman supaya rakyat duduk di rumah.”

Katanya, Jabatan Penerangan turut akan memberi penerangan untuk menyedarkan rakyat mengenai kepentingan mematuhi perintah kawalan pergerakan dalam usaha membendung penularan Covid-19.

“Saya harap semua rakyat mematuhi arahan kerajaan, tujuannya bukan nak menyusahkan rakyat, tetapi menjaga kesihatan dan nyawa rakyat.

“Kementerian Kesihatan menjangkakan kes akan terus meningkat, sebab itu kerajaan melaksanakan larangan ini.”

Beliau berkata, rakyat dibenarkan keluar membeli barang keperluan asas, tetapi mereka perlu menjarakkan diri ketika berada di tempat awam.

Katanya, mesyuarat hari ini bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dianggotai 19 kementerian untuk menyelaras pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Semalam, Muhyiddin Yassin merayu rakyat tidak balik kampung atau melepak di luar rumah sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu.

Perdana menteri berkata, jika penularan Covid-19 gagal dikawal, kerajaan tiada pilihan kecuali melanjutkan tempoh perintah kawalan pergerakan selepas 31 Mac ini.

Perintah yang mula dikuatkuasakan semalam itu mengharamkan perhimpunan besar-besaran untuk kegiatan agama, sukan, sosial dan kebudayaan, manakala sekolah, premis kerajaan dan perniagaan pula ditutup.

Hanya perkhidmatan asas, pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan pasar mini dibenarkan beroperasi, sementara kedai makan dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan penghantaran dan bawa pulang saja. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *