Polis Kota Kinabalu Lakukan Rondaan, Sekatan Pastikan Perintah Dipatuhi

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (kiri) meninjau ke lokasi sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 mulai 18 Mac hingga 31 Mac ini sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19 di Jalan Kepayan, malam tadi.

KOTA KINABALU: Sejak berkuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan semalam, Polis Kota Kinabalu meningkatkan usaha membuat sekatan jalan raya di sekitar daerah ini bermula 10.15 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ia dibuat bagi memastikan masyarakat mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.

Habibi berkata, sekatan jalan raya itu dibuat di beberapa lokasi di daerah ini dan begitu juga dengan rondaan bersepadu seperti Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV).

“Rondaan bersepadu bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sudah dijalankan sejak semalam dan mendapati ada premis yang dibuka dan kita arahkan ditutup dan mereka mematuhinya.

“Jadi usaha rondaan akan dilipat gandakan dan hari ini sekatan jalan raya kita laksanakan bagi menasihatkan orang awam untuk pulang dan berehat di rumah dan tidak mengambil kesempatan untuk merayau-rayau tanpa tujuan tertentu sepanjang pelaksanaan perintah berkenaan.

“Setakat ini, polis bagi nasihat orang awam yang masih berdegil selepas nasihat, kita bagi amaran. Jadi sekirannya keadaan mendesak bagi tujuan membasmi sepenuhnya penularan Covid-19, polis akan mengambi tindakan drastik tangkapan dan sebagainya,” katanya ketika membuat rondaan di sekitar Kepayan, semalam.

Katanya, bilik gerakan Ibu pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu sudah dibuka sejak 8 pagi semalam untuk mengawal dan memantau segala yang berkaitan dengan Covid-19.

“Bilik gerakan ini kita dapat sama-sama memastikan pencegahan dari segi keselamatan dapat dilakukan dengan kekuatan anggota di setiap balai polis yang mana kekuatannya satu pegawai lapan anggota.

“Jadi di Kota Kinabalu ada sembilan balai polis yang akan menjalankan tugas rondaan keselamatan secara berterusan sehinggalah kita yakin masyarakat di luar sana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan sekali gus mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Habibi turut menasihatkan orang ramai yang menggunakan media sosial seperti blog, Facebook dan Twitter supaya tidak menyampaikan sebarang maklumat yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.

“Kita akan ambil tindakan jika mana-mana individu didapati menyampaikan kenyataan yang boleh mendatangkan kegusaran mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam.

“Sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *