Pelajar Sabah, Sarawak Tak Berani Ambil Risiko Pulang Ke Kampung

Orang ramai berpusu-pusu mahu pulang ke kampung selepas kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan pada Isnin.

KUCHING: Ketika orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampuung halaman sebaik perintah kawalan pergerakan diisytiharkan bagi mengekang penularan Covid-19, beberapa pelajar dari Sabah dan Sarawak memmbuat keputusan untuk terus berada di Semenanjung.

Ada antara mereka yang tidak pulang kerana tidak mampu memberi tiket penerbangan yang mahal, sementara yang lain tidak mahu ambil risiko virus menjangkiti keluarga.

Apapun alasan, mereka tidak pasti apa yang akan terjadi pada masa depan.

“Saya bimbangkan keadaan keluarga di kampung,” kata Jeni yang berusia 21 tahun kepada FMT.

“Sarawak bukan dekat, dengan situasi semasa semua orang ingin berada dekat dengan keluarga. Ibu saya juga bimbang, namum kita hanya mampu berdoa supaya kita semua selamat dan keadaan akan bertambah baik.”

Pelajar perakaunan di sebuah univeristi di Selangor itu berkata, dia menyedari peningkatan ketara kes pesakit yang positif dijangkiti wabak itu.

Katanya, dia sangat ingin pulang ke kampung dan berada di sisi keluarga di Sibu, tetapi mengambil keputusan untuk tidak berbuat demikian kerana bimbang dijangkiti virus dan menyebarkannya.

“Ia keputusan yang sukar kerana hanya saya tinggal jauh dari kampung halaman, tapi saya tak mahu risikokan diri dan keluarga.”

Selain perintah kawalan pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin, Sabah dan Sarawak juga melaksanakan langkah-langkah tersendiri.

Sarawak mengenakan perintah duduk di rumah selama 2 minggu ke atas semua pihak yang masuk ke negeri itu sementara Sabah menghalang kemasukan penduduk dari luar Sabah.

Jeni yang tinggal di luar kampus memberitahu sukar untuk mendapatkan bekalan memandangkan banyak kedai runcit ditutup awal.

“Pelajar yang tinggal di luar kampus bimbang kerana sukar untuk membeli barang keperluan.

“Memang ada khidmat penghantaran makanan tapi kami tak mampu menggunakan perkhidmatan itu setiap hari.”

Sementara itu, Eldrind Earron Ferdinand, 27, dari Kuala Penyu, Sabah turut ambil keputusan tidak pulang ke kampung selepas perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

Beliau yang tinggal di Kajang berkata di tidak mahu pulang ke kampung kerana takutkan virus itu.

“Ibu bapa menasihatkan saya tak pulang ke Sabah ketika ini,” katanya sambil menambah harga tiket dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu terlalu mahal ketika ini iaitu lebih RM400.

Jacyntha Simon, 25, dari Tambunan Sabah, juga tidak pulang ke kampung.

Dia yang bekerja sebagai kerani di Kuala Lumpur berkata, dia tidak nampak keperluan pulang ke kampung walaupun merindui keluarga.

“Saya hanya pulang ketika sambutan Krismas. Lagipun dengan situasi virus yang merebak ketika ini lebih baik saya tinggal di sini.

“Saya tidak mahu melakukan perjalanan dan berisiko dijangkiti virus itu dan kemudian menyebarkannya kepada keluarga.”

Beliau turut bimbang akan abangnya yang bertugas sebagai pegawai imigresen.

“Kami sekeluarga bimbang tentang keadaanya, terutama selepas jumlah peningkatan kes di Sabah dilaporkan.”

Sehingga semalam, Sarawak mencatatkan 50 kes sementara Sabah 103. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *