Masih Ramai Warga Labuan Tidak Patuh Perintah Kawalan Pergerakan – Polis Labuan

Sekatan jalanraya dilakukan Polis Labuan

LABUAN:Masih ramai warga tempatan di sini masih tidak patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat-kuasa bermula pada 18 – 31 Mac susulan dapatan sekatan jalan raya polis pagi Khamis.

Hampir 400 buah kenderaan melalui sekatan jalan raya selama sejam (9.30-10.30 pagi) yang diadakan di jalan utama ke pusat bandar di Jalan Tun Mustapha.

Menurut timbalan ketua polis Labuan DSP Ibrahim Ghani pematuhan ini adalah perlu bagi mengawal penularan jangkitan koronavirus (COVID-19) yang kini melalui gelombang kedua.

“Pelbagai alasan yang dianggap tidak penting diberikan dalam operasi pagi ini, termasuklah mahu menyemak gratuiti-lah sedangkan ianya boleh dilakukan selepas perintah berakhir.

“Ada juga memberi alasan hendak pergi ke pasar beli ikan, tetapi apabila dilihat dalam kenderaan, pemandu tidak keseorangan tetapi bersama isteri dan anak-anak,” katanya.

Ibrahim berkata tidak perlulah turun ke bandar untuk berbelanja dapur beramai-ramai tetapi memadai berseorangan, berikutan risiko kepada jangkitan.

Labuan merekodkan lima kes COVID-19 sehingga hari ini, dengan dua kes pertama direkodkan pada 13 Mac, dua kes lagi selang beberapa hari dan kes kelima pada 18 Mac.

Kesemua lima kes berkenaan dikaitkan dengan perhimpunan ijtimak (perjumpaan) tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur oada 29 Feb hingga 2 Mac lepas.

Sementara itu, Ibrahim berkata sekatan jalan raya akan terus dilaksanakan di seluruh jalan di Labuan bagi membantu pematuhan penuh warga tempatan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan.

“Hari ini kita beri peringatan dan nasihat, tetapi sekatan jalan raya akan datang kita tidak beri jaminan akan hanya nasihat dan mungkin akan ada tindakan lebih tegas,”katanya.

Ibrahim juga berkata ada pemandu lori yang ditanya semasa sekatan jalan raya mengakui diminta bekerja (menghantar tanah) oleh majikannya.

Bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 telah diwartakan pada 18 Mac 2020.

Pegawai Polis DiRaja Malaysia dan RELA telah dilantik sebagai pegawai diberi kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Di bawah Akta Kerja 1952, beberapa tindakan juga boleh diambil pekerja sekiranya dipaksa oleh majikan untuk datang bekerja, mereka boleh membuat laporan di pejabat tenaga kerja.

Di bawah Akta Kerja, pekerja boleh membuat laporan bahawa majikan mereka tidak mahu ikut Perintah Kawalan Pergerakan, itu kesan-kesan sekiranya majikan tidak mematuhi peraturan tersebut.

“Perlu diingatkan bahawa sebarang bentuk pelanggaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa pada tengah malam ini (18 Mac 2020) sehingga 31 Mac 2020, boleh menjadi kesalahan jenayah dan boleh diambil tindakan.

Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan kerja-kerja jawatannya, Seksyen 188 Kanun Keseksaan iaitu mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam, Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan kejangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 271 Kanun Keseksaan iaitu mengingkari aturan kuarantin,” katanya.

Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab polis untuk menyekat penularan jangkitan COVID-19 dengan mematuhi segala Perintah Kawalan Pergerakan. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *