COVID-19: Kerajaan Umum Beri Diskaun Bil Elektrik Sehingga September

KUALA LUMPURL: Kerajaan telah mencadangkan pemberian diskaun bil elektrik kepada semua pengguna elektrik bagi tempoh 1 April sehingga 30 September 2020.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan bersetuju untuk memberi diskaun sebanyak 15 peratus bagi penggunaan elektrik dalam tempoh tersebut kepada enam sektor perniagaan terpilih yang menerima kesan langsung daripada penularan wabak COVID-19.

“Antaranya adalah pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks beli-belah, pusat konvenseyen, taman tema dan syarikat penerbangan tempatan.

“Diskaun 15 peratus ini melibatkan kira-kira 10 ribu pemilik akaun daripada sektor tersebut yang mengguna pakai Tarif Perdagangan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Selain itu, Shamsul menambah, diskaun 15 peratus tersebut dijangka memberi impak pengurangan bil elektrik sebanyak RM40 juta bagi semenanjung, manakala RM20 juta di Sabah dan RM8.5 juta di Sarawak.

“Pengguna-pengguna komersial, industri dan pertanian selain enam sektor itu pula akan menikmati diskaun sebanyak 2 peratus bagi penggunaan elektrik sepanjang tempoh demikian.

“Ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.6 juta pemegang akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan penjimatan yang dianggarkan sebanyak RM370 juta bagi semenanjung.

“Manakala ia turut memberi manfaat juga kepada 99,322 pemegang akaun TNB di Sabah dengan penjimatan sebanyak RM11.5 juta serta 100,000 pemilik akaun di Sarawak dengan jumlah penjimatan RM107.2 juta,” jelasnya lagi dalam kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, sebanyak 2 peratus diskaun pula akan diberikan kepada pengguna kategori domestik atau rumah kediaman bagi tempoh yang sama.

“Ini bermakna rakyat akan menikmati diskaun 2 peratus itu dalam tempoh tersebut sebagai tambahan kepada 6 peratus yang telahpun dinikmati oleh pengguna domestik pada masa ini bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020.

“Ia dijangka memberi anggaran penjimatan sebanyak RM92 juta kepada 7.5 juta pengguna di semenanjung, selain RM5.7 juta kepada 520,378 pengguna di Sabah dan RM6.8 juta kepada 585,637 pengguna di Sarawak,” tambahnya lagi.

Difahamkan, pemberian diskaun tersebut telah diumumkan secara berperingkat melalui pengumuman pada 27 Februari 2020 semasa pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Negara 2020 (PRE2020) serta pengumuman oleh Perdana Menteri selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada 16 Mac 2020.

Menurut Shamsul, kos pemberian diskaun elektrik itu ditampung oleh kerajaan melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik bagi semenanjung, manakala bagi Sabah dan Sarawak adalah di bawah tanggungan Kerajaan Persekutuan.

Sumber: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *