95% Peserta Tabligh Di Sabah Sudah Diperiksa

KOTA KINABALU: Sebanyak 95 peratus peserta perhimpunan tabligh yang dikesan di Sabah telah menjalankan pemeriksaan kesihatan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, kesemua 95 peratus peserta tabligh itu telah datang melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital.

Manakala, selebihnya lima peratus lagi akan turut diminta datang menjalani pemeriksaan.

Sehingga 15 Mac, seramai 2,426 orang peserta perhimpunan tabligh di Sabah berjaya dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan daripada jumlah itu 1,895 telah diperiksa bagi jangkitan Covid-19.

Christina berkata, dari segi penempatan pesakit Covid-19, Sabah masih berada dalam keadaan dimana, bilangan katil dikhaskan untuk pesakit wabak ini mencukupi.

Katanya, Sabah mempunyai 350 katil untuk pesakit Covid-19 di kesemua enam hospital berpakar di seluruh negeri iaitu di Hospital Queen Elizabeth; Hospital Wanita & Kanak-Kanak; Hospital Keningau; Hospital Duchess Kent, Sandakan; Hospital Tawau dan Hospital Lahad Datu.

“Sekiranya bilangan pesakit bertambah, kita akan mengosongkan wad-wad yang ada secara berperingkat.

“Atas sebab itu, kita menjalankan pemantauan setiap hari dan sepanjang hari itu, kita akan melihat keperluan untuk membuka wad lain.

“Dalam masa ini, kita juga mengoptimakan penggunaan katil yang ada di hospital-hospital berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, di sini semalam.

Christina berkata, Sabah mempunyai 20,000 orang kakitangan kesihatan yang sedang bertugas.

Sekiranya perlu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) boleh menggerakkan sehingga 28,000 orang kakitangan termasuk mereka yang sedang menjalani latihan dan kursus lanjutan.

Mengenai khabar angin, terdapat kes Covid-19 di Pulau Gaya, beliau berkata, apabila nampak petugas kesihatan menjalankan tugas pemeriksaan berkemungkinan memang ada kes disyaki atau pesakit di bawah siasatan (PUI) di kawasan-kawasan berkenaan.

Namun, sukar untuk menyatakan memang ada kes di mana-mana kawasan tertentu kerana apabila nampak petugas kesihatan berada di kawasan tersebut, maknanya memang ada kes disyaki di situ dan aktiviti penggawalan sedang dijalankan.

Malah, JKNS turut menggerakkan petugas menjalankan pemeriksaan di daerah yang tidak melaporkan sebarang kes bagi tujuan pemantauan.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sekiranya wad tidak mencukupi, beberapa institusi yang mempunyai kemudahan boleh diguna pakai bagi menempatkan pesakit.

Misalnya, penggunaan premis Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Sandakan yang sedang digunakan bagi menempatkan individu yang dikuarantin. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *