Penuntut Sabah Di Semenanjung Dibantu

Mohd Shafie (dua dari kiri) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mahu bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memberi bantuan keperluan asas dan makanan kepada semua penuntut Sabah di Semenanjung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ia bertujuan membantu penuntut Sabah yang masih tinggal di kolej kediaman institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing kerana tidak berkesempatan pulang ke Sabah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kita faham tempoh kawalan ini agak pendek sekiranya mereka mahu pulang ke negeri ini, selain melihat faktor kewangan mereka.

“Selain itu, kemungkinan dijangkiti wabak koronavirus baharu (Covid-19) juga ada kerana mereka perlu berada di kawasan tumpuan ramai seperti lapangan terbang dan stesen bas.

“Oleh itu, saya sudah meminta Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah berkomunikasi dengan (kerajaan) Pusat supaya membenarkan penuntut Sabah kekal di kampus untuk memudahkan kita menyalurkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, sebahagian penuntut Sabah yang tidak menetap di kampus di Semenanjung dan tiada tempat tinggal kini ditempatkan di Rumah Sabah di Kuala Lumpur hingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selesai. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *